KUALA LUMPUR: Arab Saudi memilih Malaysia sebagai negara pertama
menjayakan projek perintis prapelepasan jemaah haji di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengecualikan jemaah daripada
perlu melalui pemeriksaan pasport dan kastam setiba di Jeddah dan
Madinah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek antara
kedua-dua kerajaan ini akan dilancarkan Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi bagi tujuh penerbangan terakhir membawa jemaah negara pada
musim haji tahun ini, bermula hari ini (Khamis) hingga Ahad.
"Apabila jemaah haji kita sampai di Jeddah dan Madinah, mereka akan
terus keluar dari lapangan terbang tanpa perlu menjalani pemeriksaan
pasport dan kastam.
"Kita harap, dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi, mungkin projek ini
juga dapat diteruskan untuk jemaah haji akan datang dan juga umrah tahun
ini. Projek perintis ini merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia,"
katanya.
Najib yang juga Presiden Umno berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini Khamis.
Turut hadir, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno yang menjalankan
tugas Timbalan Presiden, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,
Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Penerangan Tan
Sri Annuar Musa dan Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul
Jalil.
Jemaah haji Malaysia yang kesemuanya berjumlah 30,200 orang tahun ini,
bertolak secara berperingkat ke Tanah Suci bermula 24 Julai lepas dan
mereka dijadual pulang ke tanah air mulai 7 Sept hingga 4 Okt.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan