PULAU PINANG – Pelbagai usaha telah
dilakukan namun segalanya menjadi sia-sia buat lebih 360 orang penduduk
Kampung Mutiara, Batu Feringghi, di sini, dalam mempertahankan
penempatan mereka sejak 50 tahun lalu.
Hari ini penduduk Kampung Mutiara
terpaksa akur dalam tangisan yang mereka tetap perlu mengosongkannya
dalam tempoh tiga bulan hasil perbincangan antara Penolong Pendaftar
Mahkamah negeri, Nur Zafirah Mohd. Ali bersama pemilik tanah, Peter
Loke Leng Seang, 65.
Mengikut ketetapan asal, mereka
sepatutnya mengosongkan tanah tersebut hari ini selepas mahkamah
memerintahkan demikian pada 17 Februari 2016 dan notis arahan itu juga
dikeluarkan 10 Julai lalu.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk
Seri Ahmad Ismail berkata, Peter Loke turut meminta wang jaminan
RM100,000 dan berjanji akan memulangkan sebanyak RM50,000 sekiranya
penduduk berjaya mengosongkan tanah tersebut dalam tempoh masa
ditetapkan dan ia dibayar oleh UMNO Bukit Bendera.
“Kita berharap penduduk memberi kerjasama dan perjanjian persetujuan akan dibuat dalam masa terdekat.
“Pemindahan semua penduduk akan
dilakukan sebaik sahaja apartmen di Sri Tanjung Pinang 1, Tanjung Tokong
mendapat hak strata dan proses ini memerlukan bantuan kerajaan Pusat
untuk mempercepatkannya,” jelas beliau.
Mengulas pembinaan rumah di Kampung
Mutiara, Ahmad memberitahu, pihaknya telah menyerahkan peruntukan RM10
juta daripada kerajaan Pusat kepada pemaju dua minggu lalu dan masih
memerlukan RM20 juta lagi bagi memastikan projek perumahan bercampur 500
unit apartmen itu berjaya dilaksanakan.
“Pembinaan apartmen di dua lot tanah
berkeluasan lebih 2.9 hektar itu sebenarnya bukan sahaja untuk
menyelesaikan masalah 40 rumah dan 70 keluarga Kampung Mutiara tetapi
500 keluarga di seluruh Batu Feringghi,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Zawiyah
Ismail, 62, berkata, dia berterima kasih atas usaha dilakukan Ahmad dan
kerajaan negeri dalam menyediakan penempatan sementara di Sri Tanjung
Pinang 1.
“Memang kami setuju dengan keputusan
ini tetapi masih berharap dapat balik ke tanah ini sebab kami mahu mati
di sini, disemadikan bersama ibu bapa kami di sini,” katanya yang
tinggal di Kampung Mutiara sejak lebih 40 tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, K. Govindarajoo,
61, berkata, dia yang tinggal bersama lima ahli keluarganya akur dengan
perintah pengosongan itu walaupun amat sedih.
Dia yang merupakan orang kurang upaya
(OKU) dan berkerusi roda berkata, sebelum ini, penduduk membantah dan
tidak mahu keluar dari kawasan itu seperti diminta pemiliknya kerana
mereka tidak diberikan pampasan dan tempat tinggal.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan