KOTA BHARU: Wacana Terbuka ‘Kelantan Ambang PRU-14, Parti Mana Bela
Rakyat?’ yang dijadual berlangsung di sini semalam terpaksa dibatalkan
selepas dua ahli panelnya menarik diri saat-saat akhir.
Wacana tersebut yang merupakan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) Pertahan, sepatutnya menampilkan pemimpin sayap pemuda PAS, PKR,
Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri berkenaan.
Namun hanya Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azam Ismail dan Ketua
Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari muncul menyahut cabaran dalam
program tersebut.
Dua lagi panel, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Kelantan, Mohd
Hafidz Rizal Amran dan Ketua Armada PPBM Kelantan, Asran Alias menarik
diri saat-saat akhir dengan alasan memprotes tindakan penganjur tidak
menjemput dua lagi wakil parti pembangkang iaitu Amanah dan DAP.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin muda itu mendakwa
pihak penganjur tidak profesional kerana menafikan kehadiran wakil
Amanah dan DAP sekali gus menjadikan program itu sekadar membuang masa
dan langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Mohd Azam yang dipetik Utusan Online berkata beliau
bersetuju menyahut cabaran kerana berpendapat program seumpama itu
merupakan ruang yang boleh dimanfaatkan untuk beliau mengemukakan
pandangan dan berkongsi wadah perjuangan Umno dengan rakyat Kelantan.
“Tindakan wakil PKR serta PPBM menarik diri saat-saat akhir adalah
tidak wajar namun saya hormati keputusan mereka. Sejujurnya saya kecewa
namun saya perlu berlapang dada dan bersedia memenuhi undangan seumpama
ini pada masa depan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan