shahbudindotcom
Hanya
berpunca daripada dakwaannya bahawa kad pengenalan lama Tun Mahathir
Mohamad adalah "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty", Timbalan Perdana
Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan tiga persoalan yang memerlukan
jawapan langsung daripadanya.
Tiga
persoalan itu dilontarkan kembali oleh Tun Mahathir kepadanya sebagai
tindak balas dan susulan atas dakwaan yang dimulakan oleh Zahid Hamidi
sendiri.
Tiga perkara tersebut ialah:-
Pertama,
menyahut cabaran Tun Mahathir agar menunjukkan bukti salinan kad
pengenalan lama bekas Perdana Menteri itu untuk mengesahkan dakwaannya
bahawa "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty" adalah benar dan sahih.
Selagi
Zahid Hamidi gagal menampilkan bukti atau berdiam diri atau sekadar
mewakilkan kepada pegawai medianya untuk memberikan jawapan, ia belum
lagi dikira jawapan yang sewajarnya.
Apatah
lagi jika jawapan pegawai medianya hanya mengatakan mesej sebenar Zahid
Hamidi telah disensasikan, sedangkan maksudnya dikatakan ialah untuk
menperjelas mengenai watak Tun Mahathir yang didakwa mengamalkan cara
politik "habis madu sepah dibuang" terhadap orang Melayu.
Semua
itu bukanlah jawapan sebenar. Jawapan yang dikehendaki ialah bila
beliau boleh menampilkan bukti salinan kad pengenalan lama Tun Mahathir
yang tertulis "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty" itu?
Gagal
menunjukkan bukti tersebut, Zahid Hamidi bukan saja dianggap "kaki
pembohong" sebagaimana dinyatakan oleh Tun Mahathir, malah seluruh
rakyat Malaysia juga akan beranggapan sedemikian.
Kedua,
menjelaskan mengenai pertemuannya dengan Tun Mahathir yang dilakukan
kira-kira sebulan setelah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada
2015 yang lalu.
Benarkah
pertemuan itu diadakan untuk meminta sokongan untuk menggantikan tempat
Najib atau Zahid Hamidi ada penjelasan lain mengenainya?
Kegagalan
memberi penjelasan atau terus berdiam diri tentu saja akan menambahkan
lagi kecurigaan tentang kesetiaan sebenarnya kepada Najib, meskipun
sudah berulangkali beliau menyatakan kesetiaan tidak berbelah baginya
kepada Perdana Menteri.
Berdiam
diri atau gagal memberikan penjelasan juga hanya akan menebalkan lagi
perasaan "mata berpandangan budi kedapatan" antara beliau dengan Najib.
Ketiga,
memberi penjelasan mengenai jumlah kekayaan sebanyak RM230 juta yang
pernah diisytiharkan kepada Tun Mahathir ketika memegang jawatan Ketua
Pemuda UMNO pada 1996 dahulu.
Tun
Mahathir menyebut bahawa jawapan Zahid Hamidi ketika itu mengenai
daripada mana datangnya jumlah kekayaan tersebut sebagai kurang jelas.
Keperluannya kini mudah saja, berikanlah jawapan yang sejelas-jelasnya.
Tiga
perkara itu wajib dijawab sendiri oleh Zahid Hamidi untuk menunjukkan
beliau benar-benar pemimpin yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai.
Sebagaimana
beliau lantang dan berani membuat tuduhan "Mahathir anak lelaki
Iskandar Kutty" di depan umum, Zahid Hamidi juga perlu tampil dengan
lantang dan berani menjelaskan tiga perkara di atas.
Tambahan
lagi, tuduhannya berkenaan "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty" sudah
pun dijawab secara langsung oleh bekas Perdana Menteri itu, meskipun
dalam keadaan beliau diserang demam selsema dan kurang sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan