HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 September 2017

‘Ah Long 2.0’ kenakan caj pemprosesan sebelum beri pinjaman

Nizam Zain
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan ada syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau ah long kini semakin licik.

Mereka bukan sahaja mengenakan kadar keuntungan tinggi bahkan menipu duit mangsa.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, modus operandi ah long semakin membimbangkan apabila mangsa dipaksa membayar yuran pemprosesan melebihi jumlah pinjaman yang dibuat dengan pelbagai helah.
 
“Sebelum permohonan itu diproses, mangsa kena bayar sedikit yuran pemprosesan. Kemudian ada yuran guaman, GST dan pelbagai caj tambahan hingga setengah jalan itu mangsa rasa ini penipu, hingga kena bayar RM30,000.
 
“Bila mangsa rasa ini tak betul, tapi malangnya bila sudah setengah jalan, ah long RM30,000 walaupun mangsa tidak mahu meminjam.
 
“Jadi mahu jugalah mangsa terperangkap, jadi tambah itu ini, sampai masa pengadu datang jumpa saya, dia sudah bayar RM52,000 , dia nak pinjam RM50,000 tapi sudah bayar RM52,000 sebagai yuran ini,” katanya pada sidang media di Villa Puteri Condominium di sini petang tadi.
 
 
Nadzim berkata, mangsa tertipu selepas melihat iklan pembiayaan peribadi diiklankan di Facebook yang menjanjikan pinjaman mudah lulus tanpa syarat ketat seperti mana yang dikenakan pihak bank berdaftar.
 
“Sejak kebelakangan ini, kita banyak menerima aduan seperti ini yang kita rasa mungkin ia telah menjadi satu kaedah baharu untuk menipu pengguna.
 
“Mangsa ini cuba pinjam duit RM50,000 untuk berniaga, dalam Facebook dia nampak satu iklan memaparkan Pembiayaan Peribadi yang turut menunjukkan gambar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
 
“Bila orang tengok gambar KWSP, orang akan yakin dan tertarik dengan mengatakan pinjaman mudah,” jelasnya.
 
Nadzim juga menyifatkan pemberi pinjaman ini sebagai ‘Ah Long 2.0’ apabila memerangkap mangsa dengan menggunakan nama Bank Negara Malaysia, mahkamah dan bank-bank tempatan untuk menakutkan mereka.
 
“Kita lihat penipuan jenis ini cukup banyak berlaku sejak kebelakangan ini. Minggu lepas sahaja tidak kurang 12 kes, malangnya ia tiada kaedah untuk menangkap mereka ini kerana mereka wujud dalam alam siber.
 
“Yang kita khuatir perkara ini menular, penipuan jenis lain sudah cukup banyak tapi ini tambah lagi dalam keadaan orang susah. Kalau Ah Long dia bagi juga duit, tapi dia minta banyak, tapi kes ini, kita pula kena bagi dia duit,” tegasnya.
 
Dedahnya lagi, sindiket terbabit juga memerangkap mangsa dengan memasukkan duit pinjaman ke akaun peribadi peguam mereka.
 
“Ramai mangsa di mana akaun mereka telah digunakan (sindiket) ditangkap oleh pihak polis kerana dikatakan menipu sama ada di bawah AMLA untuk disoal siasat.
 
“Ada yang direman hingga tujuh hari, apabila sindiket ini memasukkan duit ke akaun mangsa dari pelbagai negeri. Polis tangkap pemilik akaun saja, dan mangsa ini pun tak tahu hingga polis datang tangkap,” dedahnya.
 
Lebih malang katanya lagi ada seorang mangsa sindiket ini merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kini berdepan dengan pendakwaan dalam tujuh pertuduhan.
 
“Ada satu kes terkini 17 pertuduhan kena ke atas OKU yang ditahan di Penjara Sungai Buloh. Perkara ini perlu diambil perhatian serius yang kita tak boleh ambil mudah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: