HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 September 2017

Tak perlu ‘tension’ Mat Sabu bertanding di Selangor, kata Amanah

 
Ia selepas Umno Selangor menyifatkan presiden Amanah itu membawa budaya yang tidak sesuai dengan negeri itu.


matsabu_amananh_new


PETALING JAYA: Amanah mempersoalkan musuh politiknya mengenai cadangan meletakkan Mohamad Sabu sebagai calon di Selangor, sambil berkata pemimpin veteran itu sesuai bukan sahaja kerana pengorbanannya tetapi juga kerana sudah lama menjadi rakyat negeri itu.

“Ramai tidak tahu bahawa Mat Sabu ini warga Selangor selama hampir 30 tahun. Beliau dan keluarga menetap di Seksyen 19, Shah Alam sejak 1988,” kata Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim.

“Dari segala segi, Bang Mat layak bertanding di Selangor. Kalangan yang tension apabila Mat Sabu bertanding di Selangor tu kenapa ya?” soalnya, merujuk panggilan popular presiden Amanah itu.

Awal bulan ini, Izham ketika berucap pada Konvensyen Amanah Selangor mencadangkan Mat Sabu sebagai calon di negeri itu.

Bagaimanapun, ia dipersoalkan Umno Selangor, yang mendakwa Mat Sabu bukan pemimpin yang sesuai dengan “budaya orang Selangor”.

“Jika kita lihat latar belakang Mat Sabu, dia tidak sesuai untuk rakyat di Selangor dan tidak sesuai untuk dijadikan modal untuk masyarakat,” kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, di sebalik spekulasi Mat Sabu bakal menjadi calon DUN Selangor.

Mat Sabu yang terkenal dengan kelantangannya di Dewan Rakyat, pernah mewakili 3 kawasan Parlimen iaitu Nilam Puri, Kubang Kerian dan Kuala Kedah.

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusinya pada 2004 dan kalah dalam PRU 2008 dan 2013, di Kuala Terengganu dan Pendang.

Semalam, bekas timbalan presiden PAS itu berkata beliau yakin menang di mana-mana kerusi termasuk di Pekan, kerusi yang disandang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tokoh politik kelahiran Pulau Pinang itu turut menolak hujah beliau bukan anak jati Selangor.

“Kebanyakan orang luar dari Selangor datang ke negeri ini untuk bekerja dan menetap di sini. Terdapat pemimpin yang bukan anak jati Selangor.

“Tetapi mereka ini dipilih rakyat dalam pilihan raya lepas seperti Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang berasal dari Johor, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula berasal dari Melaka,” katanya.

Sementara itu, Izham berkata Mat Sabu terkenal dengan sifat mesra dan periang serta mudah didekati, dan ini katanya terserlah sekali lagi apabila beliau meraikan Tun Dr Mahathir Mohamad di rumahnya di Seksyen 19, Shah Alam, Rabu lepas.

“Satu perkara yang saya rasa sangat istimewa Bang Mat ialah dia seorang yang sangat mesra, periang dan ramah serta mudah didekati. Apabila dia masak untuk Tun M semalam di rumahnya, itu mungkin pelik bagi sesetengah orang tetapi bagi kami biasa saja. Memang kerap dia masak untuk kami,” kata Izham dalam catatan Facebook.

Semalam, media sosial viral dengan gambar dan laporan Mat Sabu sekeluarga makan malam bersama Dr Mahathir dan isterinya.

Kunjungan bekas perdana menteri itu diiringi kenderaan polis menyebabkan kawasan kejiranan rumah teres 2 tingkat itu bertukar menjadi kecoh.

“Mungkin jiran menyangka saya kena tangkap lagi,” kata Mat Sabu, yang pernah ditahan 2 kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

Tiada ulasan: