Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham
Shaharin hari ini tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak satu siasatan berhubung penjualan
sebidang tanah di Ijok yang bernilai kira-kira RM1.18 bilion.
Beliau yang dikenali sebagai Chegubard mendakwa, ia ekoran wujud
beberapa elemen 'mencurigakan' memandangkan tanah berkenaan sebelum ini
terlibat dengan proses perundangan apabila kerajaan negeri pimpinan Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim merampasnya daripada dua buah syarikat iaitu
Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kerana kegagalan
membangunkan tanah tersebut.
Dakwa beliau lagi, namun tanah berkenaan dipulangkan kembali kepada dua
syarikat tersebut apabila Datuk Seri Azmin Ali mengambil alih jawatan
Menteri Besar Selangor.
"Syarikat yang memiliki tanah ketika itu telah membawa kes ini kepada
dua peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Kedua-dua mahkamah membuat keputusan mempertahankan tindakan kerajaan
negeri menarik tanah tersebut.
"Tetapi syarikat terus membawa (kes) tanah itu ke Mahkamah Persekutuan.
Ketika di Mahkamah Persekutuan, menteri besar bertukar tangan iaitu
daripada Tan Sri Khalid kepada Datuk Seri Azmin Ali.
"Tiba-tiba (kes) tanah tersebut diselesaikan secara luar mahkamah di
mana tanah tersebut diberi hak kepada syarikat berkenaan semula, dan
dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi kepada sebuah syarikat lain
untuk dimajukan. Ini nampak sangat-sangat tidak kena," katanya kepada
pemberita di hadapan pejabat SPRM di sini sebentar tadi.
Chegubard turut membawa dokumen yang menyatakan butiran secara jelas sebagai menyokong dakwaannya itu.
Bagaimanapun ketika ditanya mengenai sumber kepada dokumen tersebut,
beliau enggan mengulas lanjut sambil menambah, soal sumber tidak
penting.
Dokumen itu diterima seorang kakitangan SPRM, Teo Woi Yu.
Beliau dalam pada itu mempersoalkan bagaimana Azmin boleh memulangkan
semula tanah kepada dua syarikat tersebut sedangkan kerajaan negeri
tidak mempunyai apa-apa kewajipan undang-undang (legal obligation)
terhadap syarikat itu.
Dakwanya, tanah itu kemudian dijual kepada sebuah syarikat pemaju iaitu
Eco World Group Development Berhad dengan harga RM1.181 bilion.
Tambah Chegubard, lebih menghairankan, carian yang dilakukan pihaknya
mendapati kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai kaitan dengan orang
kuat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Datuk Paduka Khairuddin Abu
Hassan, yang bertindak selaku pengarah dua syarikat berkenaan.
"Dia (Khairuddin) orang politik, orang Dr Mahathir di mana kita tahu
hubungan Dr Mahathir dengan Azmin. Dokumen yang sangat lengkap daripada
geran tanah, keputusan mahkamah, surat menyurat dengan tanda tangan dia
sendiri, saya rasa SPRM tidak ada alasan untuk tidak membuat siasatan
dan pendakwaan dalam kes ini," ujarnya.
Sebelum ini sebuah NGO, Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) turut tampil membuat laporan kepada SPRM berhubung isu yang sama.
Presiden IMPAK Datuk Zul Azhari Mohamed Juah menggesa SPRM menyiasat
kes itu ekoran urus niaga berkaitan tanah berkenaan menimbulkan pelbagai
keraguan khususnya kaedah yang digunakan Azmin sewaktu menyelesaikan
isu tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan