Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PAS menyangkal kenyataan seorang pemimpin Amanah yang
mendakwa parti itu kini berada dalam dilema selepas ada pemimpin kanan
parti menolak kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
berkata, perkara sedemikian tidak berbangkit kerana partinya itu tidak
pernah berniat untuk bekerjasama dengan BN selama ini.
Malah ujarnya, PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti dan
akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti menerusi
Gagasan Sejahtera sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini.
"Bila pula kita ingin bekerjasama dengan BN?
"Kenapa pula timbul ada orang bantah sedangkan tidak ada kerjasama.
"PAS telah menegaskan bahawa PAS akan bertanding dalam PRU melalui
Gagasan Sejahtera, berlawan dengan BN Umno dan PH, itu keputusan bersama
kita, bukan baru tetapi sudah lama," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk
Husam Musa yang mendakwa PAS berada dalam dilema apabila terdapat
pemimpin kanan parti itu tidak merestui kerjasama membabitkan BN.
Husam mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat
tentangan daripada beberapa pemimpin parti mengenai kerjasama bersama
parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak itu.
Mengulas lanjut, Khairuddin menganggap kenyataan Husam itu sebagai
tidak relevan dan lapuk memandangkan ADUN Salor itu pernah menggunakan
'alasan' yang sama ketika mahu keluar daripada PAS.
"Datuk Husam ini bercakap di luar daripada konteks dan di awang-awangan.
"Kenyataan yang tidak 'valid' dan relevan.
"Itu modal lama Husam, dulu semasa dia ingin keluar PAS pun dia kata
sebab PAS ingin bekerjasama dengan Umno, jadi ini semua sudah lapuk,
benda lapuk yang diulang-ulang untuk merelevankan kewujudan parti Amanah
Negara," ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi.
Husam merupakan bekas pimpinan tertinggi PAS telah dipecat
keanggotaanya dalam parti itu selepas lantang mengkritik presiden parti,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS
dengan Umno.
Beliau yang juga ADUN Salor kemudiannya bertindak mengumumkan menyertai parti serpihan PAS, Amanah pada Ogos tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan