KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga jam pencarian bahan bukti di Taman
Tasik Datuk Keramat di Kuala Lumpur, pasukan penyelam polis menamatkan
operasi kira-kira 1.40 tengah hari tadi.
Menurut sumber, operasi pencarian ditamatkan selepas mereka tidak
menemui sebarang objek seperti pemutar skru yang boleh dikaitkan dengan
insiden kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu.
"Keadaan air yang keruh menyukarkan lagi pencarian ini.
"Bagaimanapun, hasil siasatan hari ini akan dihantar ke ibu pejabat
untuk tindakan susulan," katanya yang dipetik sebuah agensi portal
berita.
Menurut sumber itu lagi, tinjauan yang dilakukan di lokasi mendapati
empat anggota penyelam melakukan caraian ke dasar tasik kira-kira 10
meter dari tebing tasik berkenaan.
Pasukan penyelam itu dikerahkan ke taman tasik yang terletak di
belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung
sejak 10.30 pagi yang turut disertai pasukan penyiasat dan Unit Forensik
Polis Diraja Malaysia.
Kebakaran pusat tahfiz itu pada awal pagi 14 Sept mengorbankan 21
pelajar dan dua guru yang juga warden akibat terperangkap di asrama di
tingkat paling atas bangunan tiga tingkat.
Kenderaan yang membawa pasukan berkenaan meninggalkan taman tasik itu pada pukul 2 petang.
Semalam, polis membawa ketujuh-tujuh remaja berumur antara 11 dan 18
tahun yang ditahan berkaitan kes kebakaran itu ke lokasi kejadian bagi
membantu siasatan.
Pada Jumaat lepas, tempoh reman tujuh remaja itu disambung tujuh hari
lagi sehingga 29 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat
menggunakan api.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan