ULASAN: Pada pertemuan rasmi kurang 10 minit di antara delegasi Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Presiden Donald J Trump di White House 12 September lalu, ayat kedua dan ketiga yang diucap Perdana Menteri Malaysia ialah:
“I want to say that we come here with a strong value proposition to put on the table. Number one, we want to help you in terms of strengthening the U.S. economy.”
(“Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS.”)
Beliau seterusnya berkata bahawa MAS akan menambah jumlah kapal terbang Boeing yang akan dibeli. Pembelian tambahan ini dijangka bernilai sekitar USD 10 bilion (RM 42 bilion) dalam masa 5 tahun akan datang.
Datuk Seri Najib turut berkata KWSP akan melabur USD 4 bilion (RM 16.8 bilion) ke dalam ekonomi AS, manakala Khazanah juga akan meningkatkan jumlah pelaburan di AS dari USD 400 juta yang ada sekarang.
Ini bermakna Malaysia akan memasukkan hampir RM 60 bilion ke dalam ekonomi AS untuk lima tahun akan datang.
Tetapi di dalam pertemuan tersebut, kita tidak mendengar sepatah perkataan pun dari Presiden Trump tentang apa yang akan dimasukkan AS ke dalam ekonomi Malaysia.
Jika dirujuk nilai perdagangan Malaysia-AS dari 2013 ke 2016 (Jadual 1), jelas pihak yang menerima manfaat langsung paling besar dari pertemuan ini adalah AS, di mana ekonomi AS akan menyaksikan pertambahan purata ekspot ke Malaysia bernilai lebih kurang RM 8.4 bilion setahun untuk 5 tahun akan datang dengan pembelian kapal terbang Boeing tersebut.
Namun sehingga kini tidak jelas apa manfaat langsung yang akan dinikmati ekonomi Malaysia dari pertemuan Dato’ Sri Najib dan Presiden Trump ini.
Di dalam suatu laporan Bernama bertarikh 14 September 2017, ada disebut bahawa “kedua-dua negara komited mengkaji semula kerangka pengawalseliaan dengan tujuan memudahkan pelaburan di dalam ekonomi negara masing-masing” (“The two countries also committed to review regulatory frameworks with the aim of facilitating investment in their respective economies”).
Mengikut dakwaan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS, nilai aset yang terlibat dalam kes 1MDB di AS mencecah hampir USD 1.7 bilion. Maka, adalah cukup bermakna untuk rakyat dan ekonomi negara jika kerangka pengawalseliaan ini dikaji semula untuk membolehkan segala “pelaburan” di AS yang didakwa menggunakan wang haram diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diekspot – yakni dipulangkan – kembali ke Malaysia.
Oleh itu, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib perlu segera menjelaskan apakah beliau ada berbincang dengan Presiden Trump berkaitan pemulangan aset-aset bernilai USD 1.7 bilion ini ke Malaysia.
Walaupun pemulangan aset bernilai USD 1.7 bilion dari AS tidak menyamai hampir USD 60 bilion yang akan dimasukkan Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya maruah negara dapat ditebus.
* Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan