SHAH ALAM: Selepas ditegur Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pemilik
'kedai dobi untuk Muslim' yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini
akur dengan arahan Sultan Johor itu untuk menamatkan dasar tersebut
selepas ia disifatkan sebagai 'memalukan.
Memetik laporan Free Malaysia Today, pemilik Elit Laundry turut
memohon maaf kepada Sultan Johor, rakyat negeri Johor dan seluruh rakyat
di Malaysia yang tersinggung dengan dasarnya yang menerima kecaman
pelbagai pihak.
“Saya sudah patuh pada titah Tuanku. Saya memohon maaf pada Tuanku,
rakyat Johor atas apa yang berlaku dan berharap kekecohan selama
beberapa hari ini akan reda.
Saya sudah tidak menggunakan papan tanda berkenaan.
“Saya memang tiada niat untuk menjadikan isu ini suatu perkara yang besar,” katanya kepada portal itu.
Bagaimanapun, beliau yang enggan dinamakan berkata akan tetap meneruskan perniagaannya itu.
Pemilik kedai dobi itu juga berkata sepanjang melaksanakan pematuhan
berkenaan, beberapa agensi kerajaan turut hadir ke premisnya bagi
memeriksa perlaksanaan yang beliau lakukan.
Katanya, kelemahannya akan diperbaiki di masa hadapan agar tidak lagi
menyinggung perasaan Sultan Johor dan rakyat negeri berkenaan.
Terdahulu Sultan Ibrahim mengarahkan kedai dobi itu supaya menghentikan operasi atau berdepan dengan risiko ditutup.
Titah baginda, tindakan pemilik kedai dobi itu tidak boleh diterima
oleh sebuah negeri yang diduduki pelbagai kaum dan agama yang
mengamalkan kesederhanaan dan toleransi.
Kontroversi itu tercetus selepas tersebarnya sekeping gambar yang
memaparkan kedai dobi tersebut meletakkan papan tanda 'Untuk pelanggan
Muslim sahaja, mesra Muslim'.
Polisi ‘Muslim sahaja’ yang diamalkan di kedai dobi layan diri di Jalan
Junid, Muar itu telah mencetuskan perdebatan antara netizen.
Sebahagiannya menyokong tindakan pemilik itu kerana khuatir basuhan
pelanggan mereka bercampur dengan sebarang unsur najis, namun sebahagian
pula menentangnya dengan menyifatkan ia tindakan ekstrim.
Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan polisi kedai dobi itu sebagai amalan agama yang sempit.
Mohd Asri berkata, amalan itu bertentangan dengan Islam yang memudahkan
penganutnya, pada masa sama tidak sesuai dalam masyarakat yang pelbagai
agama dan budaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan