Oleh Shuhaniza Said
PORT DICKSON: Majoriti ahli yang masih menganggotai Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) kini sebenarnya berada dalam keadaan 'serba
salah' kerana sudah tersedar bahawa parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad
itu bukanlah sebuah parti yang ideal, demikian dakwaan bekas
pengasasnya.
Menyifatkan golongan itu sebagai penuh kepura-puraan, Kamarulazman
Habibur Rahman juga mendakwa sebahagian besar daripadanya terpaksa
'bertahan' kerana malu mengakui bahawa mereka tersilap membuat
percaturan.
"Mereka sependapat dengan saya cuma berbeza-beza latar belakang,
pandangan dan sebagainya. Pertamanya, (golongan) yang menunggu melihat
bahawa sesuatu yang baru akan berlaku.
"Keduanya, mereka ikut kerana taksub kepada Tun (Dr Mahathir).
"Ketiga, pihak yang mungkin merasakan tak tahu mana lagi nak pergi sebab kalau keluar, mereka tak diterima.
"Kategori mereka berbeza-beza tapi hakikatnya, majoritinya berada dalam
keadaan serba salah kerana mereka tahu bahawa ini adalah perjalanan
yang bawa mereka kepada kesesatan, dan mereka terpaksa pada hakikatnya
akhirnya akan ambil keputusan untuk berpatah balik.
"Tapi memang adat resam orang Melayu, mereka sangat malu untuk mengaku
mereka salah, silap dan sebagainya," katanya kepada Antarapos ketika
ditemubual baru-baru ini.
Kamarulazman merupakan salah seorang individu penting dalam penubuhan
PPBM, namun mengambil keputusan untuk keluar parti pada April lalu
selepas kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasihdalam parti teraju
Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Beliau juga mengumumkan peletakan kesemua jawatannya dalam parti,
termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha
Kerja PPBM pusat.
Dalam kenyataan ketika mengumumkan keluar parti, Kamarulazman turut
menyelar sikap pemimpin PPBM yang bekerja untuk jawatan serta kedudukan,
malah melayan kumpulan yang bekerja keras demi parti dengan 'layanan
kelas kedua'.
Sebilangan ahli dan pemimpin peringkat negeri mengikut jejak langkah
beliau, namun paling mengejutkan adalah apabila dua orang pemimpin kanan
parti turut berbuat demikian baru-baru ini, iaitu Anina Saadudin dan
Datuk Hamidah Osman.
Anina merupakan salah seorang pengasas yang juga merangkap Ahli Majlis
Pimpinan Tertinggi, manakala Hamidah pula Naib Presiden. Kedua-duanya
mengumumkan keluar parti pada 16 September lalu.
Ekoran itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM menggelarkan mereka yang meninggalkan parti sebagai 'sampah'.
Beliau dipercayai berkata demikian dalam satu ceramah bersama penyokongnya di Bukit Merah, Perak pada 22 September lalu.
Namun kenyataan yang dilemparkan Dr Mahathir itu ditepis Kamarulazman.
"Adakah apabila pemimpin yang keluar ini tidak sependapat dengan apa
yang sedang berlaku dalam parti maka mereka terus dikecam, dituduh
menerima habuan dan sebagainya.
"Suka saya sebutkan di sini bahawa mereka yang meninggalkan parti ini
adalah golongan yang punyai integriti yang sangat tinggi. Itu sebab kita
ambil keputusan yang berani untuk meninggalkan parti ini.
"Kalau nak berhujah dengan kami, sila berhujah secara ilmiah,
berdasarkan fakta bukan berdasarkan fitnah dan sebagainya," tangkis
Kamarulazman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan