HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 September 2017

Umno Selangor akan buat bantahan jika PBT lulus Pesta Arak



Umno Selangor akan buat bantahan jika PBT lulus Pesta Arak



Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didesak untuk menyatakan pendirian mengenai penganjuran pesta arak di negeri itu tanpa perlu berdolak dalik menyerahkan keputusan kelulusan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semata-mata.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Zein Isma Ismail berkata, penafian Azmin terhadap laporan yang pernah disiarkan oleh sebuah akhbar arus perdana tidak mencerminkan pendiriannya terhadap penganjuran pesta arak itu.

“Penafian Azmin itu sebaliknya menimbulkan polimik terhadap umat Islam kerana demi menjaga hubungan politik rakan sekutunya di negeri itu.

“Kita tahu semua maklumat berkaitan PBT di bawah pengetahuan seorang menteri besar.

“Sebagai pemimpin negeri beliau perlu melihat sensitiviti umat Islam di negeri ini. Di Selangor sahaja statistik menunjukkan 57.9 % beragama islam,Kristian 3.8%, Budha 24.4%, Hindu 11.6 % dan lain-lain agama pula 2.3 peratus.

“Adakah sebagai seorang MB beliau tidak merujuk perkara ini, jikapun ia diluluskan oleh PBT,  ia boleh menimbulkan perasaan kurang senang kepada sebahagian masyarakat Islam bukan sahaja di Selangor tapi di negeri lain kerana negara ini menjadikan Islam sebagai agama rasmi sebaliknya beliau mengalakkan budaya tidak sihat menular di dalam negara ini,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Bangunan Umno Selangor petang ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar pro kerajaan itu, di atas muka depan akhbar itu mendakwa beliau membenarkan pesta arak di Selangor setelah penganjuran di halang di Kuala Lumpur.

Azmin menuntut penarikan tanpa syarat, permohonan maaf secara terbuka dan ganti rugi daripada Utusan kerana menyiarkan berita muka depan akhbar itu yang memaparkan tajuk “Azmin benarkan pesta arak”, dengan laporan penuh di muka 4 akhbar itu pula membawa tajuk “Azmin tidak kisah pesta arak di Selangor”.

Memetik kenyataan rasmi Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong berkata, penganjur pesta arak itu perlulah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri atau pihak berkuasa tempatan.

Zein Isma berkata, Umno Selangor tidak akan teragak-agak untuk melakukan bantahan pada tarikh penganjuran pesta arak ini, jika Azmin masih lagi tidak menyatakan pendiriannya sekiranya pesta arak ini diluluskan oleh PBT.

“Pelbagai desakan terang-terangan dikalangan NGO Islam dan Pas. Malah kita yakin majoriti umat Islam menentang penganjuran pesta arak ini.

“Jika kerajaan negeri meneruskan penganjurannya pihak kami tidak teragak-agak membuat bantahan besar-besaraan kerana kami merasakan perkara ini tidak wajar dibuat di Selangor.

“Mengapa nak buat di Selangor? Kenapa tidak di Pulau Pinang? Sedangkan di negeri Selangor setiap inci tanahnya bernaung di bawah Sultan. Adakah Azmin sudah merujuk perkara yang amat sensitif ini kepada DYMM Sultan Selangor?” soalnya.

Bahkan tambahnya lagi, jika Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyatananya pada Selasa, telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak menyekat penganjuran pesta arak, sewajarnya Azmin sudah dapat membuat pendirian sama,kata Zein Isma lagi.

Tiada ulasan: