HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 September 2017

AMANAH letak Mat Sabu bertanding di Selangor?

DETIK DAILY

 
 
Parti AMANAH berkemungkinan meletakkan presidennya Mohamad Sabu sebagai calon PRU14 untuk kerusi Parlimen Kota Raja dan kerusi DUN Taman Templer, demikian menurut sumber-sumber parti itu.

Ini dipercayai sebagai sebahagian daripada langkah meletakkan pemimpin parti itu yang lebih dikenali di Selangor bagi menempatkan kedudukan parti itu sebagai pengganti PAS dalam kerajaan negeri.

"Mohamad mungkin diletak bertanding di Taman Templer, sebuah kerusi negeri di bawah kerusi Parlimen Selayang. Beliau juga mungkin diletak bertanding kerusi Kota Raja.

Menurut satu sumber yang rapat dengan kepimpinan AMANAH, pertandingan di kedua-dua kerusi parlimen dan negeri adalah satu duluan yang dimulakan oleh parti-parti lain.

Tambahnya, adalah perkara biasa bagi pemimpin utama pembangkang diletakkan bertanding di kerusi negeri dan parlimen.

Awal bulan ini, AMANAH Selangor telah mencadangkan membawa Mohamad, yang berasal dari Kedah, untuk mengetuai cabaran di negeri mereka.

Perkara itu bukan asing bagi Mohamad. Beliau menjadi ahli Parlimen pada 1990 apabila memenangi kerusi Nilam Puri. Beliau seterusnya menang di parlimen Kubang Kerian (1995) dan Kuala Kedah (1999).

Beliau gagal mempertahankan kerusinya pada tahun 2004. Beliau juga kalah dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, masing-masing di Kuala Terengganu dan Pendang.

Kerusi 'lebih selamat'

Sekiranya beliau diletak bertanding di Kota Raja, ia merupakan kali pertama Mohamad bertanding di kawasan pilihan raya di mana majoriti pengundinya adalah bukan Melayu.

Menurut data pilihan raya 2013, Kota Raja, yang merangkumi sebahagian bandar Klang, mempunyai 44 peratus pengundi Melayu diikuti oleh India (29 peratus) dan Cina (25 peratus).

Menurut satu sumber, parti itu merancang memindahkan penyandang MP Kota Raja Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, yang juga ketua sayap wanita AMANAH, bertanding di kerusi negeri.

Pada tahun 2013, Siti Mariah mengekalkan kerusi Kota Raja dengan memperoleh 63.8 peratus daripada jumlah undi.

Satu lagi sumber parti itu berkata rancangannya ialah untuk meletakkan Mohamad di kawasan yang agak "selamat", di mana antara 20 hingga 30 peratus pengundi adalah bukan Melayu dan dengan itu lebih cenderung untuk menyokong calon Pakatan Harapan.

Ketika dihubungi, Mohamad mengesahkan bahawa AMANAH Selangor berminat untuk meletaknya bertanding di Selangor, tetapi belum ada kata putusnya mengenainya.

"Parti belum lagi membuat keputusan...," katanya sambil menambah bahawa beliau juga mempunyai hak dalam penentuan perkara itu.

Beliau bagaimanapun menafikan tanggapan bahawa ada usaha untuk mmeletakkannya bertanding di kawasan "yang lebih selamat".

Khalid ke Johor?

Sementara itu, sumber-sumber parti itu berkata terdapat perbincangan untuk meletakkan ketua penerangan, Khalid Abdul Samad - yang kini menjadi ahli Parlimen Shah Alam bagi penggal kedua - bertanding di Johor.

Ini, menurut sumber-sumber, adalah sebahagian daripada strategi untuk memperkuat usaha parti itu di Johor, yang telah dikenalpasti sebagai negeri barisan hadapan untuk Pakatan Harapan, bersama dengan timbalan presiden parti Salahuddin Ayub.

Kepimpinan parti itu dikatakan sedang memikirkan cadangan untuk meletakkan Khalid bdi Pasir Gudang, yang mungkin melibatkan pertukaran kerusi dengan PKR.

Apabila dihubungi, Khalid enggan mengesahkan sama ada beliau akan diletak bertanding di Pasir Gudang, dengan memetik perlunya mengekalkan kerahsiaan strategi parti.

Tetapi, tegasnya, jika beliau tidak bertanding di Selangor, pada alamiahnya beliau akan bertanding di Johor.

"Kedua-dua ibu bapa saya dari Johor, saya dilahirkan di Kelantan dan dibesarkan di Selangor," katanya.

Mengenai desas-desus yang Mohamad akan diletak bertanding di Selangor, Khalid berkata adalah penting bagi parti itu meletakkan presidennya di kawasan yang agak "selamat".

"Kami mahu presiden berada di parlimen, itu saya tidak dapat nafikan. Adalah penting untuk memastikan kemenangan presiden kami, dan kami perlu mencari kerusi yang baik untuknya.

"Dengan meletakkan tokoh utama dan penting di Selangor, kita boleh menjadikannya sebuah negeri HARAPAN dalam jangka panjang dan kita serius untuk menggantikan PAS di negeri tersebut," kata Khalid, yang merupakan pengarah komunikasi AMANAH.
 
 

Tiada ulasan: