HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 September 2017

Jiran terkejut polis tiba di rumah Mat Sabu

 
Suasana tegang bertukar menjadi riang dan teruja apabila mendapati yang datang berkunjung adalah Dr Mahathir dan isteri.


mat-sabu-3
Dr Mahathir tiba di rumah Mat Sabu di Seksyen 19, Shah Alam.

SHAH ALAM: Kawasan perumahan yang diduduki Mohamad Sabu malam tadi bertukar kecoh selepas beberapa kereta polis tiba di rumah presiden Amanah itu, menyebabkan ramai tertanya-tanya sama ada ahli politik lantang itu sekali lagi menjadi sasaran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, suasana “tegang” itu menjadi riang apabila mereka mendapati anggota keselamatan sebenarnya menemani bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali, menziarahi Mat Sabu sekeluarga.

mat-sabu-1
Mat Sabu sibuk memasak untuk meraikan Dr Mahathir dan isteri di rumahnya (Foto Tarmizi Mohd Jam)

Dan seperti mana layanan yang diberikan kepada tetamunya yang lain, Mat Sabu memasak sendiri lauk-pauk yang dihidangkan.

“Ada nasi daging kambing, ada salad, ada kambing goreng nampla, gulai ayam, juga ikan masin goreng,” kata Mat Sabu kepada FMT, menceritakan lawatan Dr Mahathir yang pernah menjadi musuh ketat politiknya ketika masing-masing berada dalam Umno dan PAS.

Mat Sabu berkata lawatan Dr Mahathir dan isteri itu dicadangkan kepada beliau oleh Datuk Abdul Malik Mydin, perenang kelahiran Pulau Pinang yang mencatatkan rekod sebagai orang pertama dari Asia Tenggara berenang merentasi Selat Inggeris pada 2003.

Bagaimanapun, menurut Mat Sabu, beliau memberitahu Malik yang rumah teresnya sangat kecil dan tidak sesuai dilawati seorang tokoh seperti Dr Mahathir.

mat-sabu-2
Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah menjamu selera bersama Mat Sabu sekeluarga. (Foto Tarmizi Mohd Jam)

“Saya beritahu dia, rumah saya kecil,” katanya. “Kalau makan, saya masak. Saya tak ada duit nak catering (tempah makanan).”

Malik berkata ia tidak menjadi masalah, dan Mat Sabu sekeluarga membuat persediaan menjemput tetamu ternama itu ke rumahnya, tanpa mahu menghebohkan kepada umum.

Menurutnya, hanya beliau sekeluarga serta seorang lagi sahabat rapat berada di rumah mengalu-alukan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

Tetapi rahsia itu tidak mudah disimpan.

“Saya tak mahu ada publisiti. Siapa pun tak diberitahu,” katanya.

Mat Sabu berkata ia bukan kali pertama rumahnya didatangi anggota polis.

mat-sabu-4
Suasana teruja di kawasan kejiranan Mat Sabu menyambut ketibaan Dr Mahathir.

“Mungkin jiran menyangka saya kena tangkap lagi,” kata Mat Sabu, yang pernah ditahan 2 kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di bawah pentadbiran Dr Mahathir.

“Rupa-rupaya mereka dapati, Tun datang. Mereka pun tunggu di luar rumah nak bergambar. Saya pun panggil masuk, dan mulalah mereka ambil gambar. Ketika itu, setiausaha politik saya menasihatkan saya, makan malam saya dengan Dr Mahathir tidak boleh dirahsiakan lagi,” katanya sambil ketawa.

Mat Sabu berkata sepanjang lawatan pengerusi Pakatan Harapan itu selama 2 jam di rumahnya, perbualan mereka banyak berkisar mengenai hal keluarga dan jarang menyentuh politik.

“Saya beritahu Dr Mahathir, rumah ini dibeli masa saya dalam ISA, waktu tu harga RM90,000. Saya juga perkenalkan anak saya yang lahir masa ditahan ISA,” kata bekas ahli Parlimen yang lantang itu.

Mat Sabu, 62, pernah mewakili PAS sebagai ahli Parlimen di Nilam Puri, Kubang Kerian dan Kuala Kedah, ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Tiada ulasan: