HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 September 2017

'Iras Cina, tembam, mereka mungkin tersalah cari Jho Low'

AKHBAR RAKYAT


Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menjelaskan beliau sudah menyerahkan cek kepada peguamnya untuk disampaikan kepada Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Bagaimanapun, selain mengulas sebab terhadap “sedikit kelewatan beberapa jam itu”, beliau turut mengambil kesempatan menulis warkah penuh sindiran pedas kepada Salleh.

Rafizi antaranya menyindir suami Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil itu, yang menyiarkan notis mahkamah menuntut penjelasan bayaran ganti rugi kepadanya dan NFC berjumlah RM306,999.17 di akhbar.

“Semasa saya dan peguam saya berbincang mengenai kepada siapa saya patut menulis cek berjumlah RM306,999.18 itu, saya dinasihatkan untuk menulisnya kepada peguam Datuk Seri yang berbulan-bulan kononnya tidak dapat mencari saya.

“Padahal saya tiap-tiap hari ada buat #liveFB.

"Pusat Khidmat saya pun terbuka sepanjang minggu tetapi peguam Datuk Seri ini tidak dapat cari saya seperti mana pihak berkuasa tidak berjaya mencari Jho Low.

“Mungkin sebab muka saya ada iras Cina sedikit dan saya pun tembam-tembam juga, agaknya kerani dari firma peguam Datuk Seri tersalah cari Jho Low!” katanya.

Surat itu ditulis setelah Salleh dilapor menghubungi akhbar Berita Harian dan berkata Rafizi atau peguamnya masih belum menghubunginya berkaitan pembayaran ganti rugi.

Dalam tulisan balas, Rafizi juga mencuit Salleh yang menurutnya sering nampak “murung” setiap kali mereka bertemu di mahkamah.

“Saya tak salahkan Datuk Seri kerana bebanan hidup kebelakangan ini sangat menekan. Saya yakin Datuk Seri juga ada terkesan dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan)...,” kata anggota parlimen Pandan itu.

Menjelaskan pembayaran itu, Rafizi berkata beliau sudah menulis cek kesemuanya kepada peguam Salleh dan menyerahkan melalui peguamnya.

“Saya telah meminta peguam saya Siau Sun & Michele untuk berhubung dengan peguam Datuk Seri supaya cek dapat diserahkan secepat mungkin.

“Saya ingat agaknya dengan cara itu juga peguam Datuk Seri boleh belajar kaedah yang lebih mudah untuk menghubungi saya iaitu melalui peguam masing-masing,” katanya.

'Jangan tidur dengan cek saya'

Rafizi juga berkata cek itu dijangka tiba kepada Salleh menjelang jam 7 petang esok.

“Saya harap kalau Datuk Seri gembira pun jangan sampai tidur dengan cek itu,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Rafizi juga mengucapkan salam kepada anggota keluarga Salleh.
“Sampaikan salam kepada anak-anak Datuk Seri juga.

“Sampaikan salam hormat dan simpati kepada Datuk Seri (sic) Shahrizat Jalil kerana beliau masih terpaksa bekerja pada umur ini walaupun dipencenkan sejak tahun 2008 lagi.

“Namun dalam keadaan serba GST ini, kita boleh bernafas lega sedikit kalau isteri kita ada pendapatan tetap.

"Lebih-lebih lagi Datuk Seri Shahrizat dapat gaji menteri tiap-tiap bulan," katanya.

Rafizi juga bergurau akan menampal “notis tuntutan sebesar pintu rumah” di pintu pagar rumah Salleh jika mahkamah lebih tinggi membuat keputusan memihaknya selepas ini.

Namun, kemudian, kata Rafizi lagi, “Saya bergurau sahaja”.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan permohonan Rafizi untuk membatalkan keputusan yang berpihak kepada Salleh minggu depan.

Tiada ulasan: