JAKARTA: Rakyat Malaysia yang datang ke Bali samada untuk bercuti atau
urusan lain, diingatkan sekali lagi agar memaklumkannya kepada Pejabat
Konsul Kehormat Malaysia di pulau itu bagi memudahkan komunikasi
berikutan gunung berapi Gunung Agung masih berstatus 'awas'.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim,
berkata pada masa ini pihaknya dan Pejabat Konsul Kehormat sentiasa
berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di Bali terutama pelajar,
ekspatriat dan pelancong.
"Pihak kedutaan juga telah menyelaras dengan pelajar-pelajar Malaysia
di Bali untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang
kemungkinan," katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, pihak konsulat telah menghubungi beberapa pelajar Malaysia
yang berada di dalam zon bahaya iaitu dalam lingkungan 12 kilometer
dari puncak gunung agar berpindah ke tempat selamat.
Menurut laporan sebuah agensi portal berita, Zahrain turut meminta
nasihat serupa dikeluarkan oleh syarikat penerbangan Malaysia yang
membawa rakyat Malaysia ke Bali.
Rakyat Malaysia boleh mendaftarkan kehadiran mereka di Bali menerusi
Facebook @embassymalaysiajakarta dan Twitter @myembjkt, atau menghubungi
kedutaan besar di Jakarta menerusi talian +62215224947 atau
+6281380813036 (selepas waktu pejabat) atau e-mel mwjakarta@kln.gov.my.
Bagi yang berada di Bali pula boleh menghubungi Pejabat Konsul Kehormat
Malaysia di Puri Kumara Sakti, Jalan Bentuyung, Ubud, Gianyar, 90571
Bali atau telefon +62361973182/ +6281237154050 atau e-mel
balihcmalaysia@gmail.com.
Media tempatan hari ini melaporkan setakat ini pihak berkuasa sudah
memindahkan lebih 200,000 penduduk dari kawasan zon bahaya sejak gunung
berapi itu mula mengeluarkan asap tebal dan berlaku beberapa gempa
kecil.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi mengesahkan status
Gunung Agung yang terletak di daerah Karangasem boleh meletus pada
bila-bila masa dan rakaman satelit menunjukkan ada rekahan pada kawah
gunung setinggi 3,031 meter dari aras laut.
Gunung berapi tertinggi di Bali itu pernah meletus dan memuntahkan
lahar pada September 1963 yang mengorbankan lebih 200 nyawa dan
memusnahkan ribuan rumah di kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Gabenor Bali, I Made Mangku Pastika, dipetik meminta
orang ramai tidak menyebarkan berita palsu kononnya gunung berapi itu
telah meletus dan mengeluarkan lahar seperti yang disebarkan oleh
media-media sosial.
Sambil menegaskan gunung itu belum meletus, beliau berkata, pihak
berkuasa sudah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan
orang ramai.
"Jika Gunung Agung meletus, maksimal dampak dari erupsi dan debu
vulkanik hanya sekitar 12 kilometer dan jangan dipikirkan ia menjadi
ancaman bagi pariwisata (pelancong) dan kehidupan masyarakat Bali,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan