HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 September 2017

Bukan Islam ada hak minum arak tapi bukan anjur pesta - Exco PAS Selangor [TONTON VIDEO]

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sungguhpun orang bukan Islam mempunyai hak untuk mengambil minuman keras, tetapi tidak bermakna ia sebagai satu 'lesen' untuk mereka menganjurkan sebarang bentuk acara secara terbuka apatah lagi berbentuk pesta seperti Better Beer Festival 2017.  
 
Exco PAS Selangor Zaidy Abdul Talib berkata, pihak yang berkenaan khususnya penganjur sewajarnya menghormati sensitiviti orang Islam, dan sepatutnya acara sedemikian dilakukan secara tertutup.
 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor itu turut menegaskan pendiriannya yang menolak penganjuran Better Beer Festival 2107 sekiranya ia diadakan di Selangor kelak.
 
"Secara peribadi saya memang tidak bersetuju dan menentang penganjuran pesta arak sebab ia perlu menghormati dari sudut orang-orang Islam dan juga Islam sebagai agama rasmi.
 
"Hak untuk minum itu ialah hak orang bukan Islam dan dia boleh minum tapi dalam keadaan tertutup, penganjuran yang berbentuk tertutup dan bukannya dihebahkan berbentuk pesta," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ura-ura kononnya pesta arak itu bakal dipindahkan ke Selangor selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit penganjurannya atas sebab keselamatan.
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya semalam pula berkata meskipun kerajaan negeri menghormati hak kaum dan agama lain, penganjur pesta arak tertakluk kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mahu mengadakan di negeri itu.
 
Azmin bagaimanapun berkata, dirinya tidak pasti sama ada penganjur ada membuat permohonan di peringkat majlis tempatan kerana ia tidak sampai di peringkat negeri.
 
Terdahulu, pada Jumaat lalu, gabungan 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor mengadakan himpunan aman di hadapan Masjid Negeri di sini bagi memohon campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekiranya terdapat cadangan pesta arak dianjurkan di negeri itu.
 
 
 
 
 

Tiada ulasan: