Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja
Malaysia (MTUC) J Solomon menyifatkan kenyataan Irwan itu sebagai tidak
bertanggungjawab kerana membuat kenyataan semborono.
PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berhadapan dengan kritikan ekoran kenyataan mendakwa rakyat Malaysia yang miskin berada dalam keadaan sedemikian kerana mereka tidak cukup berusaha jika dibandingkan dengan warga asing.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon menyifatkan kenyataan Irwan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana membuat kenyataan semborono.
Solomon berkata kenyataan Irwan hanya akan mengundang polemik yang tidak perlu yang mana ia tidak mengatasi masalah dihadapi oleh kumpulan pekerja B40 dan dan M40.
“Rata-rata rakyat Malaysia berhadapan dengan perbelanjaan tetap untuk keperluan-keperluan tidak dapat dielakkan, termasuk pinjaman rumah, perbelanjaan perubatan, kos pengangkutan, pendidikan anak-anak, dan perbelanjaan wajib seperti GST, cukai lain dan pembayaran statutori.
“Juga harus dinyatakan bahawa taraf hidup pekerja asing di negara ini juga dalam keadaan yang menyedihkan, jadi kenyataan itu tidak wajar.”
Solomon juga mengingatkan Irwan, kaum pekerja adalah tulang belakang ekonomi negara dan oleh itu, tidak adil bagi Irwan untuk membayangkan rakyat Malaysia yang miskin adalah malas.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Irwan merujuk kepada sebarang data apabila membuat kenyataan itu, terutamanya mengenai bilangan orang asing yang didokumenkan dan tidak ada dokmen sah yang bekerja atau menjalankan perniagaan di negara ini dan juga pendapatan bulanan masing-masing.
Irwan berkata rakyat patut lebih berjaya daripada warga asing yang tinggal di negara ini.
“Jika warga Indonesia mampu mencari nafkah di sini, rakyat Malaysia patut lebih berjaya,” kata pada majlis graduasi 1MET Khamis lalu. Acara itu diadakan buat mereka yang menamatkan kursus keusahawanan, bimbingan dan latihan selama 6 bulan.
Irwan berkata ramai mendakwa ekonomi Malaysia jauh terkebelakang berbanding negara membangun lain.
“Mereka kata semuanya salah. Mereka kata kita berhutang banyak seperti Bangladesh. Terdapat orang yang mengelirukan rakyat.”
Menurut Irwan, jika ada rakyat yang miskin, ia disebabkan mereka tidak cukup berusaha.
“Jika mereka mempunyai tangan, kaki dan boleh berjalan, mereka boleh mencari nafkah di Malaysia.”
Sementara itu, Wong Chen dari PKR berkata sesuatu yang “amat sedih” apabila pegawai kanan kerajaan seperti Irwan yang sepatutnya membantu golongan miskin melalui dasar yang baik, gagal memahami masalah mereka, sebaliknya membuat kenyataan memperlekeh rakyat negara ini.
“Beliau sepatutnya tahu untuk berterima kasih kepada pentadbirannya sendiri, kita mempunyai kira-kira 6 juta pekerja asing yang sah dan tiada dokumen,” kata Wong sambil menambah, pekerja-pekerja asing merupakan penyumbang utama kepada penindasan gaji penduduk tempatan.
Bagi mereka yang menjadi usahawan, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya itu, Irwan perlu tahu bahawa ramai yang mungkin melanggar syarat pas kerja mereka dan menjalankan aktiviti tersebut tanpa mematuhi peraturan yang sama mengikat penduduk setempat.
“Aktiviti waktu malam ini berkembang kerana kekurangan penguatkuasaan oleh kerajaan sendiri, sehingga memberi mereka kelebihan kompetitif ke atas perniagaan tempatan,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan