SERDANG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan
Kawasan (PNK) masing-masing menerima pemberian sekali (one-off) RM30,000
dan RM7 juta untuk manfaat sejuta ahli di seluruh negara.
Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang
bertujuan menghargai usaha kelompok peladang, penternak dan nelayan,
sekali gus memantapkan organisasi PPK dan PNK.
"Sebagai menghargai usaha petani, penternak dan nelayan yang saya lihat
sebagai 'pejuang negara' atau juara (wira) yang tidak didendang, maka
saya ingin umumkan kerajaan meluluskan peruntukan one off kepada setiap
PPK dan PNK.
"Ini satu pengumuman yang saya percaya akan menyegarkan kita sebagai
pimpinan di peringkat kawasan, ...peruntukan ini sudah mendapat
kelulusan Kementerian Kewangan," katanya berucap merasmikan Hari
Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2017 dan
Festival Makanan Malaysia (MFF) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia
Serdang (MAEPS).
Perdana Menteri turut mengumumkan Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani (MOA) bertanggungjawab menerajui pembangunan industri kulinari
negara daripada aspek pertanian.
Memetik laporan BH Online, Najib berkata, hingga kini tiada mana-mana
kementerian yang memberi tumpuan secara spesifik dan khusus dalam
merancang secara rapi industri yang mengintegrasi pengeluaran di
peringkat ladang hingga ke pelbagai outlet makanan sedia ada seperti
kafe, restoran, kendera saji, pandu lalu serta pesanan makanan secara
dalam talian.
Najib turut mengumumkan MOA sebagai kementerian yang bertanggungjawab
untuk menyelaras program Gedung Makanan Negara menerusi pendekatan
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan mengenal pasti pihak lain
yang berkeupayaan untuk menjadi Gedung Makanan Negara.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan
Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk
Seri Saipolbahari Suib.
HPPNK bertemakan 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' yang berlangsung
selama empat hari hingga Ahad ini adalah platform untuk menghargai dan
meraikan mereka yang terbabit dalam penyediaan makanan di semua
peringkat daripada pengeluaran, memproses, memasak dan menghidangkan
makanan.
Program yang menonjolkan teknologi dan inovasi yang digunakan dalam
industri makanan itu menjanjikan pelbagai tarikan termasuk jualan hasil
pertanian segar, produk perikanan premium, juadah makanan popular,
pameran haiwan ternakan, seni, peralatan memasak, produk agro
pelancongan serta pameran kerjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan