HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 September 2017

3,132 premis judi atas talian diserbu

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sebanyak 3,132 serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terhadap premis judi atas talian di antara Januari hingga Ogos tahun ini.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata serbuan berkenaan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM288,380.
 
"Sejumlah 2,313 daripada kes berkenaan sudah didakwa di mahkamah.
 
"JSJ Selangor sentiasa melakukan operasi untuk menangani sindiket perjudian ini sejak dari awal lagi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
 
Beliau berkata, pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim adalah seruan yang pastinya akan dilaksanakan dengan penuh semangat serta komitmen yang tinggi bagi memastikan pusat judi haram dapat terus dilupuskan.
 
"Seluruh peringkat dalam pentadbiran Polis Selangor juga sudah dikerahkan, di peringkat balai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan IPK sendiri," katanya.
 
Fadzil berkata, pihaknya juga akan terus memantau Pusat Hiburan Keluarga berlesenyang wujud di sekitar Selangor.
 
Pada masa sama, katanya, sebanyak 137 lesen Pusat Hiburan Keluarga diluluskan hingga 26 September lalu.
 
"Kami akan mengambil tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 jika pemilik dikesan menjalankan kegiatan perjudian.
 
"Kami juga meminta orang ramai memberikan maklumat jika ada aktiviti perjudian di Pusat Hiburan Keluarga," katanya.
 
 

Tiada ulasan: