1.Ketenangan dan kegembiraaan saya tika berada di kota
Madinah Al Munawarah amat terganggu apabila membaca laporan berkenaan
ucapan YAB Perdana Menteri di Perhimpunan Agung MIC kelmarin yang
*menghina dan memperlekehkan keluhan dan kesusahan yang dialami rakyat
Malaysia akibat cukai barangan dan perkhidmatan yang diperkenalkan oleh
Kerajaan sejak 2015*.
2.Saya masih boleh menerima jika Perdana Menteri yang
datang dari keluarga bangsawan dan hidup senang lenang sejak dilahirkan
tidak menjiwai kesusahan hidup rakyat terbanyak. Maklumlah *sebahagian
besar kehidupan beliau ditanggung kita rakyat Malaysia*. Apalah sangat
cukai GST 6% peratus kalau nak dibandingkan dengan segala gaji dan elaun
sebagai PM.Itu belum lagi wang RM2.6 bilion yang 'didermakan oleh
pembesar Arab'. Sudah tentu begitu sukar untuk Perdana Menteri memahami
kenapa majoriti rakyat Malaysia merasa sangat terbeban dengan kesan
kenaikan kos sara hidup akibat dari GST.
3.Tetapi *saya tidak boleh bersabar dengan perlecehan dan
penghinaan Perdana Menteri apabila beliau memperlekehkan penderitaan
rakyat*. Tidak ada sebab sama sekali untuk rakyat merungut dan menentang
GST jika benar pelaksanaan GST akan menjadikan harga barang dan
perkhidmatan lebih murah sebagaimana yang dicanang oleh orang-orang
seperti Dato Ahmad Maslan ketika berkempen mempromosikan GST. Tetapi
hakikat yang terpaksa ditanggung rakyat sekarang ialah *GST membawa
padah kepada kenaikan kos dan harga barang keperluan yang menjejaskan
kehidupan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana*.
4.Memahami keadaan ini, saya ulangi kembali hujah saya
sebelum ini dalam menentang GST bukanlah kerana saya tidak suka manfaat
dari segi pendapatan yang diperolehi kerajaan. Tetapi hakikat *GST
sebagai sejenis cukai yang regresif iaitu semakin rendah pendapatan
seseorang maka semakin dia terbeban dengan cukai GST yang dikenakan sama
rata kepada semua rakyat tanpa mengira jumlah pendapatannya*. Apatah
lagi kesan berangkai GST yang membawa kepada peningkatan mendadak harga
barang keperluan dan pekhidmatan tidak seiring dengan peningkatan
pendapatan rakyat yang menyaksikan peningkatan minimum atau langsung
tiada peningkatan untuk 2 atau 3 tahun kebelakangan.
5.Saya percaya segala data dan fakta berkaitan pendapatan
dan kos sara hidup rakyat berada dalam pengetahuan Perdana Menteri.
Maka *amatlah tidak bertanggungjawab bagi seorang Perdana Menteri yang
tergamak memperlekehkan keluh kesah rakyat bawahan yang semakin
terhimpit penghidupan mereka dari hari ke hari*. Saya juga melihat
ucapan Perdana Menteri ini yang turut membandingkan kadara GST di
Malaysia dengan cukai yang sama di negara India dengan kadar 28% adalah
suatu signal dan bayangan jelas bahawa Perdana Menteri dan kerajaan
Barisan Nasional berhasrat untuk menaikkan lagi kadar GST berbanding
dengan kadar 6% pada masa ini. Tetapi sudah tentulah GST tidak akan
dinaikkan buat masa ini memandangkan pilihanraya umum ke 14 semakin
hampir dan pada ketika semakin jelas sokongan kepada BN semakin merosot.
6.Tetapi saya berani mengatakan GST hampir pasti akan
dinaikkan kadarnya jika BN terus berkuasa di Putrajaya selepas PRU 14.
Maka *mengekalkan BN sebagai kerajaan selepas PRU 14 adalah ibarat kita
menyerahkan tengkuk untuk 'disembelih' dengan kadar GST yang lebih
tinggi* yang akibatnya akan membawa kesengsaraan kepada kehidupan
seharian kita.
7.Ketika ini Saya hanya mampu berdoa di sudut Raudah *Ya
Allah buka lah pintu hati rakyat khususnya pengundi di Malaysia menolak
Umno Bn Ya Allah kau lindungi la rakyat dan negara kami dari pemimpin
yang menzalimi kami,beri lah kekuatan pada kami untuk mengalahkan mereka
Umno Bn.Ya Allah kau beri lah keinsafan dan istiqamah pada ku untuk
bersama rakyat untuk terus membela dan membebaskan mereka dari kezaliman
pemerentah negara yang menjadi tuntutan ajaran Islam.Ya Allah kau
ampuni lah aku dan kami semua*.Justeru kepada rakyat Malaysia,
satu-satunya cara untuk mengajar Perdana Menteri dan kerajaan yang
memperlekeh kesusahan rakyat dan seterusnya menghalang usaha mereka dari
terus membebankan kita dengan menaikkan kadar GST ialah dengan
*mengundi Pakatan Harapan di dalam PRU 14!*.
*DATO HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
Tiada ulasan:
Catat Ulasan