HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 September 2017

DAP dijangka bertanding di Kelantan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: DAP dijangka meletakkan calon mereka buat julung kalinya di kerusi DUN Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengesahkan wujud permintaan daripada DAP sebelum ini untuk bertanding di kerusi DUN.
 
“Ya memang ada permintaan daripada DAP untuk bertanding di DUN, di Parlimen mereka tidak minta,” katanya dipetik Utusan Online. 
 
Beliau berkata, bagaimanapun rundingan mengenai pembahagian kerusi dibuat di peringkat Pusat dan tidak melibatkan negeri.
 
Difahamkan DAP mungkin akan bertanding di dua kerusi DUN iaitu Kota Lama, Kota Bharu dan Galas, Gua Musang.
 
Pada ketika ini kerusi DUN Kota Lama disandang oleh PAS menerusi Datuk Anuar Tan Abdullah yang berjaya menewaskan calon MCA, Tan Ken Ten.
 
Kota Lama adalah kawasan DUN yang mempunyai pengundi Cina paling ramai, iaitu satu per tiga daripada kira-kira 30,000 pengundi.
 
Sementara itu kerusi DUN Galas disandang oleh BN menerusi Abdul Aziz Yusof.
 
Dalam pada itu, Wan Abdul Rahim berkata, pembahagian kerusi di negeri itu di antara komponen PH hampir selesai.
 
“Cuma ada empat Parlimen yang ada pertindihan di antara Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR,” katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: