KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas segelintir pemimpin pembangkang yang menggunakan bahasa kesat untuk mencaci penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau juga mempersoalkan kewajaran tindakan sedemikian hanya kerana perbezaan dan persaingan politik.
“Mat Sabu menghukum agamawan yang bersama UMNO dan BN sebagai berfahaman celaka, Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengeluarkan fatwa berdosa mengundi PAS dan BN, dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pula menggelarkan orang UMNO dan BN sebagai kaum jahiliah.
“Sebagai pemimpin parti yang berjuang untuk rakyat, tidak perlulah kita mencarut. Cukuplah sekadar kita menggariskan hala tuju perjuangan parti dan mengkritik kelemahan kerajaan BN.
“Saya fikir itu lebih beradab daripada menggelarkan sesama kita dengan bahasa yang tidak bertamadun,” katanya dalam catatan di laman blognya hari ini.
Bendahari UMNO itu berkata tindakan Mat Sabu, Dr Mahathir dan Muhyiddin hanyalah untuk menggembirakan DAP yang dianggap boleh membawa mereka ke Putrajaya.
Bagaimanapun, kata Salleh andaian itu salah dan strategi politik sedemikian tidak sesuai untuk menawan Putrajaya.
“Rakyat muak dengan politik kebencian sebegini. Yang rakyat dambakan ialah politik matang, politik menggunakan isu dan strategi kempen yang beradab, politik yang menyentuh keperluan rakyat dan perjuangan untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan