KUALA LUMPUR – Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mula panik selepas dikaitkan dengan isu penyelewengan tanah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bekas ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin bakal menyerahkan beberapa dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tanah PKPS hari ini dan mendakwa Khairuddin menerima manfaat daripada Mohamed Azmin.
“Petang semalam saya keluarkan jemputan media dan makluman mengenai Laporan ke atas Azmin Ali dan Khairuddin Abu Hassan yang akan saya buat hari ini 27 September di SPRM Selangor, Bangunan PKPS, Shah Alam.
“Semalam saya dapat mesej daripada beberapa wartawan katanya mendapat mesej melalui aplikasi WhatsApp dan di Facebook juga bagaimana penama yang bakal dibuat laporan SPRM ke atasnya menulis mesej maki hamun.
“Saya cuma jawab mungkin dia panik dengan laporan dan dokumen yang bakal terdedah,” kata Badrul Hisham atau dikenali juga sebagai Chegubard.
Badrul Hisham juga berkata Khairuddin yang panik secara tidak langsung juga mengakui dirinya ada kena mengena dengan isu tanah yang bakal didedahkan beliau.
“Tapi dalam masej maki hamun semalam kamu sendiri akui kamu terlibat malah kamu tambah ia salah Khalid Ibrahim (Tan Sri Khalid Ibrahim) bukan Azmin… maka dalam maki hamun semalam kamu tak sedar kamu dedahkan dan akui sendiri,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Khairuddin dalam posting akaun Facebooknya juga mengugut akan menyaman Badrul Hisham kerana membuat dakwaan melibatkan dirinya dengan tanah PKPS bernilai RM1.18 bilion. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan