HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 September 2017

Najib cadang perkenal pendidikan teknikal dan vokasional ke sekolah tahfiz

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat sekitar bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar dan mengorbankan 23 pelajar di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR
 

SHAH ALAM – Pelajar sekolah tahfiz sepatutnya tidak disisihkan daripada program pembangunan kerajaan.

Bagi mencapai matlamat itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional atau TVET boleh diperkenalkan di sekolah-sekolah tahfiz seluruh negara.

Cadang itu dilontarkan oleh Perdana Menteri semasa melancarkan TVET Malaysia hari ini dengan menyifatkan selain pelajaran agama, pelajar tahfiz juga dipersiapkan dengan pelajaran TVET untuk memudahkan mereka apabila memasuki alam pekerjaan pada masa depan nanti.

“Kita bercadang untuk memperkenalkan TVET kepada pelajar tahfiz sebagai tambahan kepada kebolehan mereka nanti selain menghafal Al-Quran dan juga mempunyai kemahiran dalam bidang TVET nanti,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan kepentingan TVET yang dianggap sebagai game changer ke arah meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

“Dalam menghadapi senario ini, negara perlu mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi supaya bersesuaian dengan suasana kerja dan keperluan semasa industri yang semakin kompleks, khususnya bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan yang berkualiti,” ujarnya.

Menurut Najib, kerajaan juga sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau dan merangka pelan TVET bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan dengan baik.

“Bagi tujuan ini, kerajaan telah pun mewujudkan sebuah Jawatankuasa Modal Insan untuk Industri 4.0 yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga mengiiktiraf TVET sebagai teras ketiga di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan yang mana transformasi TVET dijadikan salah satu bidang fokus yang telah dikenalpasti.

Dalam majlis sama, Najib juga mengumumkan penjenamaan semula TVET untuk melonjak program-program yang diperkenalkan ke peringkat antarabangsa.

“Sebetulnya, Kerajaan menyedari bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional di negara ini mempunyai pelbagai dimensi dan ditawarkan dalam bermacam bentuk program oleh tujuh kementerian yang utama.

“Lantaran itu yang kelimanya dalam menganjak lonjakan transformasi TVET adalah dengan, menjenamakan Institusi TVET di negara ini menjadi ‘TVET Malaysia’,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: