HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 September 2017

Pas tidak serius tumbang BN, bazir undi bertanding 13 kerusi Dun di Melaka


 
Pas tidak serius tumbang BN, bazir undi bertanding 13 kerusi Dun di Melaka

Keputusan Pas yang berhasrat bertanding hanya  13 kerusi bukan semua 28 kerusi Dewan Undangfan Negeri (Dun) membuktikan Pas tidak serius untuk menukar kerajaan dan memerintah negeri Melaka pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka Mohd Sofi Wahab berkata mana mungkin Pas boleh memerintah negeri Melaka jika hanya bertanding lebih sedikit dari 13 kerusi kerana agak sukar untuk Pas menang semua kerusi untuk memperolehi majoriti mudah 15 kerusi bagi memerintah Melaka.

“Ini jelas menggambarkan Pas tidak serius untuk menumbangkan BN di Melaka dan seterusnya membebaskan rakyat dari cengkaman BN yang menyusahkan rakyat sekarang.

“Sepatutnya Pas bertanding semua kerusi Dun dan Parlimen bagi membuktikan Pas Melaka benar-benar kuat dengan penambahan ahli ribuan setiap bulan khabarnya. Malah ia juga sudah pasti akan membuktikan kepada kesungguhan Pas untuk membela rakyat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Negeri, Kamarudin Sidek yang dipetik berkata, tindakan itu dibuat kerana Pas terpaksa berhadapan dengan pertembungan tiga penjuru dan pada masa sama akan menentang musuh tradisinya BN.

Justeru Sofi berkata, seluruh pengundi di Melaka menilai semula kesungguh Pas untuk membebaskan rakyat dari belenggu pemerintahan BN.

“Dengan keputusan mereka hanya ingin bertanding lebih sedikit dari 13 kerusi. Ini berbeza dengan AMANAH dan Pakatan Harapan yang sudah pasti akan bertanding kesemua 28 kerusi Dun dan 6 kerusi Parlimen bagi menentang BN di semua kerusi.

“AMANAH dan Pakatan Harapan komited untuk menumbangkan BN dan seterusnya menubuhkan kerajaan baru yang adil, bersih dan telus serta peduli rakyat.

“Oleh itu adalah sia-sia jika rakyat memberikan undi kepada Pas kerana Pas hampir pasti tidak akan dapat menubuhkan kerajaan dengan keputusan bertanding di sebahagian kerusi sahaja.

“Saya juga berasa optimis bahawa rakyat tidak membazirkan undi mereka mengundi Pas kerana dalam program bertemu rakyat setiap minggu kami bertemu dengan ahli, penyokong dan pengundi Pas yang terang-terangan menyatakan tidak akan membazirkan undi mereka mengundi Pas.

“Cuma mereka menzahirkannya secara terang-terang tetapi akan diterjemahkan pada kertas undi,” dakwanya.

Beliau turut mengharapkan agar Pas dapat memikirkan hasrat mereka bertanding dalam PRU14 nanti jika hanya bertanding sebahagian kerusi sahaja yang jelas menjadi pengacau.

“Jangan bazirkan masa, duit dan tenaga lebih baik mengarahkan penyokong mereka mengundi AMANAH dan Pakatan Harapan,” katanya.

Tiada ulasan: