HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 September 2017

Siasat segera pemilik tong silinder klorin - Idris

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengarahkan siasatan segera dibuat, termasuk mengenal pasti pemilik yang bertanggungjawab meletakkan tujuh tong silinder klorin dipercayai sebagai punca 50 penduduk Kampung Tambak Paya, di sini, terhidu gas beracun, petang semalam.
 
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selaku pihak berkuasa tempatan untuk mengkaji sebarang peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas pihak tidak bertanggungjawab itu sehingga mengabaikan aspek keselamatan, terutama penduduk awam.
 
Ia susulan, sebanyak tujuh tong silinder seberat satu tan setiap satu dipercayai mengandungi gas klorin dikesan ditinggalkan di sebuah rumah kosong sebelum satu daripada tong dipercayai mengeluarkan bahan kimia berbahaya.
 
"Sebaik menerima maklumat awal mengenai bencana (gas beracun) yang melanda penduduk Kampung Tambak Paya, saya mengarahkan Jawatankuasa Bencana Melaka diwujudkan segera dipengerusikan Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Hussin.
 
"Malah, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan turut bertindak segera dengan mengarahkan penduduk yang terletak di bawah radius tiga kilometer dari lokasi kejadian untuk dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Paya," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa yang terbabit di Hospital Melaka, awal pagi tadi.
 
Sehingga jam 1.30 pagi tadi, seramai 32 mangsa ditempatkan di Zon Merah dan Zon Kuning di Hospital Melaka, manakala 18 lagi ditempatkan di Hospital Jasin.
 
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, kira-kira 250 penduduk berkenaan diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing oleh pihak bomba atas faktor keselamatan.
 
Difahamkan, maklumat awal kejadian melaporkan seramai 24 penduduk, termasuk tiga anggota bomba terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka kerana sesak nafas dipercayai selepas terhidu gas klorin.
 
Idris berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak keselamatan, termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, pegawai perubatan serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) susulan tindakan pantas menyelamatkan mangsa kejadian berkenaan.
 
"Kita menasihatkan penduduk khususnya yang terletak di lingkungan radius kejadian supaya akur dengan arahan perpindahan sementara bagi menjamin keselamatan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: