HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 September 2017

Dari mana datangnya duit Maju Holdings?- Datuk Jo

Norlaile Abd Rahman
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Perasmian Fiesta Labur PNB 2017 di Aras Concourse, Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI,


PUTRAJAYA – “Dari mana datangnya sumber untuk membiayai pengambilan alih PLUS Expressway Bhd. (PLUS) oleh Maju Holdings Bhd.?

“Apakah mereka mendapat pinjaman dari luar negara?” itu persoalan yang ditimbulkan Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau mengulas mengenai cadangan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamad yang mahu membeli kesemua pegangan saham milik UEM Group Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam PLUS.

Menurut Johari, cadangan sedemikian bukan asing malah telah dikemukakan oleh banyak pihak sebelum ini.

“Bukan saya kata tidak boleh tetapi saya mahu tahu model kewangannya bagaimana? Kita perlu tahu dari mana mereka mendapatkan dana dan apakah mereka mampu membayar balik pinjaman tersebut?

“Sekiranya mereka mendapatkan pinjaman dari luar negara, apakah yang akan terjadi sekiranya pinjaman tidak mampu dibayar. Ini akan menyebabkan aset-aset strategik negara jatuh ke tangan orang luar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fiesta Labur PNB 2017 di sini hari ini.

Menurut Johari, beliau sendiri masih belum menerima kertas cadangan daripada Maju Holdings tersebut.

Baru-baru ini, Abu Sahid membuat kenyataan mahu membeli sebanyak 51 peratus saham PLUS yang dipegang UEM Group manakala baki sebanyak 49 peratus lagi dimiliki oleh KWSP pada harga melebihi RM30 bilion.

Menurut beliau, Maju Holdings memiliki wang yang mencukupi telah mendapat restu dari ‘pihak tertinggi’ di negara ini, mempunyai penasihat dan bank yang telah siap sedia untuk melaksanakan amalan korporat yang dikatakan terbesar di Malaysia setakat ini.

UEM dan KWSP dalam kenyataan bersama baru-baru ini menyatakan pendirian awal tidak berminat dengan tawaran tersebut namun tetap menjalankan kajian menyeluruh dan pertimbangan terhadap kertas cadangan yang telah dihantar oleh pihak Maju Holdings.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: