HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 September 2017

SPR pelawa parti politik serah nama bakal calon untuk saringan



SPR pelawa parti politik serah nama bakal calon untuk saringan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempelawa parti-parti politik yang bercadang untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada suruhanjaya itu untuk disaring.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata walaupun tiada undang-undang atau paksaan untuk parti-parti politik berbuat demikian tetapi saringan dibuat bagi memastikan bakal-bakal calon bersih khususnya dari aspek rasuah dan salahguna kuasa.

SPRM bersikap terbuka dalam hal ini dan terserah kepada parti-parti politik berkenaan, katanya, pada sidang media sempena program ‘Kembara Jelajah Anti-Rasuah 2017’ (KEJAR ’17) peringkat negeri Perlis di Kampung Panggas hari ini.

Menurut Dzulkifli, hanya Barisan Nasional (BN) yang selalu menghantar nama-nama pemimpin dan bakal-bakal calonnya untuk disaring oleh SPRM manakala parti-parti pembangkang tidak pernah melakukannya.

Beliau memberi jaminan hasil setiap saringan dirahsiakan dan terserah kepada parti-parti politik untuk mengambil tindakan lanjut setelah menerima keputusannya.

“Saya ingin menasihatkan parti-parti politik yang ingin bertanding dalam PRU14 supaya setiap bakal calon mereka disaring kerana rakyat akan menilai integriti mereka”, tambahnya.

Dzulkifli berkata pihaknya mampu membuat semakan dan saringan terhadap semua ahli politik walaupun diminta oleh semua parti politik kerana data mereka berada dalam simpan agensi itu.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang turut hadir kemudian melepaskan Konvoi KEJAR ’17 yang disertai 44 motosikal berkuasa tinggi dan dua bas membawa pegawai-pegawai kanan SPRM dalam siri jelajah tersebut yang bermula 18 September dan tamat di Putrajaya pada 1 Oktober ini.

Tiada ulasan: