HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 September 2017

Hantar nama calon kepada SPRM jika pembangkang telus – Idris

Bernama
Datuk Seri Idris Haron


MELAKA – Pembangkang harus menghantar nama calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan bebas rasuah dan salah guna kuasa, jika benar pakatan pembangkang telus serta jujur kepada rakyat.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata saringan calon dibuat SPRM itu adalah langkah yang baik bagi menapis calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih, justeru pembangkang harus menghantar nama mereka bagi menjamin ?kebersihan’ calon mereka.

Idris yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata melalui tindakan pembangkang yang tidak menghantar nama calon kepada SPRM itu, rakyat sendiri boleh menilai sejauh mana ketelusan dan kejujuran mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sudahpun dilaporkan menyerahkan senarai bakal calon kepada SPRM untuk saringan sekali gus membuktikan parti itu lebih ikhlas dalam menjamin calon yang bersih serta mempunyai integriti tinggi dan murni, katanya.

“Saya serahkan kepada rakyat yang bakal memilih (mengundi) dan sudah pasti mereka boleh menilai parti mana yang sememangnya telus dan jujur dalam mengenengahkan calon pada PRU14 nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, pakatan pembangkang mengakui tidak menghantar senarai nama cadangan calon yang akan bertanding pada PRU14 kepada SPRM untuk saringan itu, malah pemimpinnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertikaikan kewajaran untuk menghantar nama berkenaan kepada SPRM, selain mendakwa pakatan pembangkang mempunyai cara sendiri untuk menyaring calon parti masing-masing.

“UMNO dan BN terbukti ikhlas dan tiada masalah?jadi kalau pembangkang kata mereka ikhlas dan bersih, saya serahkan semula kepada pengundi untuk menilai mana baik, mana buruk,” kata Idris.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.- BERNAMA


Tiada ulasan: