KUALA LUMPUR – Ada beberapa waris dan ahli keluarga mangsa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar hadir bagi mengikuti prosiding pendakwaan suspek yang membakar pusat tahfiz tersebut hari ini.
Tujuh suspek dibawa ke Mahkamah Jalan Duta hari ini untuk didakwa, seorang daripada mereka dibebaskan dan semua suspek yang didakwa tidak dibenarkan ikat jamin.
Seorang bapa kepada pelajar tahfiz, Datuk Dr. Sharifuddin Musa semasa ditemui wakil media berkata, kehadirannya mengikuti prosiding kerana mahu mendengar dan melihat sendiri semua suspek terlibat membakar pusat tahfiz itu.
“Saya datang sini sebab nak dengar pendengaran kes, nak tahu apa detail kejadian.
“Saya datang nak tengok wajah suspek nak tahu cara perundangan macam mana? Saya sedih sebab yang terlibat itu ramai, jadi kita nak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan apa tindakan terhadap tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun hasrat Sharifuddin tidak kesampaian kerana semasa kes pertuduhan dibacakan, hakim mengarahkan orang awam dan wartawan keluar daripada kamar mahkamah.
Hanya waris kepada suspek sahaja dibenarkan untuk mengikuti prosiding yang berjalan.
“Tadi hakim kata hanya tertuduh dibenarkan masuk berada dalam mahkamah. Jadi apa bila diarahkan keluar, tidak nampak jelaslah perkara ini.
“Jadi, lepas ini tunggu sahaja perkembangan mahkamah apa akan berlaku selanjutnya,” kata Sharifuddin yang sedikit kecewa.
Anak Sharifuddin antara salah seorang pelajar yang terselamat dalam insiden kebakaran tersebut tetapi mengalami kecederaan selepas terjun daripada tingkat tiga pusat tahfiz dan masih dirawat dalam unit rawatan rapi di hospital.
Apabila ditanya sama ada beliau memaafkan semua suspek yang dituduh, Sharifuddin enggan mengulas tentang perkara itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk memberikan keadilan kepada keluarga mangsa.
“Kita serahkan kepada mahkamah. Dari hati? Tidak boleh nak cakaplah sebab benda ini terlibat ramai.
“Kita tak jangka pemikiran mereka (tertuduh) sampai tahap macam ni sebab melibatkan ramai,” ujarnya.
Sementara itu, sepupu kepada tiga beradik yang terkorban, Mas Aliza Ali Bapoo berkata, kehadirannya hari ini bagi mengetahui pertuduhan yang dibacakan terhadap semua suspek dan hukuman yang akan dijatuhkan kepada mereka.
“Saya hadir hari ini dengan tujuan untuk mendengar keputusan dan apa hukuman terhadap mereka suspek tertuduh,” katanya.
Mas Aliza (gambar) memberitahu, ibu saudaranya yang juga ibu kepada tiga beradik yang menjadi mangsa tragedi itu tidak hadir kerana masih lagi tidak stabil emosi dan masih terbayang-bayang kelibat anaknya di rumah.
“Ibunya sudah nampak tenang, tapi kita tidak tahu dalam hati seorang ibu macam mana?
“Luar mungkin nampak okay tapi dalam hati kita tidak tahu. Cuma makcik saya masih lagi terbayang-bayang akan tiga anaknya itu,” katanya.
Mas Aliza juga senada dengan Sharifuddin yang meminta supaya keadilan dan hukuman setimpal dijatuhkan kepada semua suspek itu nanti.
“Kita mahu keadilan ditegakkan dan hukuman setimpal diberikan kepada semua tertuduh,” katanya.
Pada 16 September lalu, tujuh remaja ditahan reman berhubung kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat Hujung yang mengorbankan seramai 23 orang pelajar.
Remaja berusia 11 hingga 18 tahun itu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur khianat yang menjadi punca kebakaran.
Enam daripadanya berusia 18 tahun ke bawah dan seorang daripadanya berusia 11 tahun. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan