shahbudindotcom
Setelah
berhempas-pulas membuat cerita bahawa 1MDB sebuah syarikat yang
berjaya, didakwa menjana keuntungan dan memberi kebaikan kepada negara,
selain turut menangkap, memenjara dan memecat mereka yang
membangkitkannya, Najib Razak akhirnya mengakui syarikat pelaburan yang
ditubuhkannya itu adalah suatu kegagalan.
Sekarang
saya tidak akan menafikan isu ini. Memang berlaku kegagalan serta ada
kesilapan kerajaan, kata Najib ketika berucap di Invest Malaysia 2018.
Dengan pengakuan ini, banyak persoalan timbul dan tidak habis di sini saja.
Jika
sudah diakui gagal, bermakna tidak timbul lagi kononnya isu 1MDB telah
dieksploitasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan mensabotaj ekonomi
negara.
Gagal
tetap gagal dan sesiapa pun berhak bercakap mengenai entiti kerajaan
yang mengalami kegagalan, lebih-lebih lagi dengan beban hutangnya
sebanyak lebih RM50 bilion, demi untuk kebaikan bersama serta negara.
Maka,
bersediakan Najib memberi kebebasan kepada sesiapa pun membangkitkan
isu 1MDB selepas ini, termasuk di Parlimen dan kemudian beliau dengan
lapang dada memberikan penjelasan mengenainya?
Soalnya, kenapa baru sekarang beliau mengakui kegagalannya?
Adakah
ini suatu pengakuan ikhlas atau satu lagi sandiwara pilihanraya bakal
dipentaskan yang memungkinkan akan ada "kambing hitam" sudah sedia untuk
dimangsakan bagi menunjukkan keseriusan kerajaan menangani skandal
1MDB?
Bagaimana dengan mereka dipecat, ditangkap dan dipenjara semata-mata kerana membangkitkan kegagalan 1MDB sebelum ini?
Adakah Najib akan meminta maaf kepada mereka?
Meskipun
Najib mengakui kerajaan telah mengambil beberapa tindakan seperti
menstruktur hutang dan melantik Ahli Lembaga Pengarah baru bagi 1MDB,
tidak dapat dinafikan bahawa punca utama kegagalan atau tercetusnya
skandal berkaitan syarikat itu ialah berkaitan Artikel 117 dalam M &
A 1MDB yang mensyaratkan hanya Perdana Menteri berhak memberi kelulusan
kepada sebarang pelaburan atau komitmen kewangannya.
Selepas pengakuan ini, apakah Najib masih bermoral membiarkan dirinya lepas bebas begitu saja?
Jika
mungkin ada yang akan "dikambing-hitamkan", bagaimana dengan Najib
sendiri dan Jho Low yang diketahui sebagai perancang utama dalam 1MDB?
Yang
lebih penting, bagaimana dengan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun
peribadi Najib yang menurut kertas siasatan DOJ ianya adalah
bersumberkan daripada dana 1MDB yang diselewengkan serta dicuri?
Begitu
juga dengan dana SRC International sebanyak RM42 juta yang turut
dimasukkan ke akaun Najib sebagai balasan setelah syarikat itu diberikan
pinjaman wang amanah pencen KWAP melalui peranan beliau sebagai Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan?
Sesudah
mengakui gagal dan ada kesilapan dalam 1MDB, adakah semua wang 1MDB
yang didakwa dicuri sebagaimana siasatan DOJ yang dianggarkan lebih RM4
biilion keseluruhannya, termasuk yang didakwa masuk ke kantung Najib,
boleh dikira "halalan toyiban" begitu saja?
Mengakui
1MDB sebagai kegagalan dan ada kesilapan tidak sesenangnya melepaskan
Najib daripada bertanggungjawab sepenuhnya ke atas skandal yang
memburukkan nama Malaysia di seluruh dunia.
Dan
sebaik-baiknya untuk memastikan tindakan benar-benar dapat diambil
terhadap semua pihak pihak berkaitan skandal 1MDB, pengakuan Najib ini
adalah "lesen sah" untuk pengundi dan rakyat terus membulatkan hati
serta tekad menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.
Hanya perubahan kerajaan menjamin skandal 1MDB dapat dibersihkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan