DETIK DAILY
Beberapa hari sebelum Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) Ahad ini,
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa gabungan pembangkang itu
segera kembali kepada semangat muafakat.
Ketua Umum HARAPAN itu berkata, semangat itulah yang perlu diutamakan berbanding soal lain yang tidak asasi atau mendesak.
"Saya gesa semangat permuafakatan segera dipahat dalam wadah HARAPAN dengan mengenepikan kenyataan melampau dan terlanjur.
"Prinsip luhur inilah yang yang perlu dahulukan, manakala permasalahan lain yang tidak asasi atau mendesak dirungkai secara musyawarah," katanya dalam kenyataan.
Ia bukanlah konvensyen biasa, memandangkan HARAPAN dijangka mengumumkan calon perdana menteri mereka secara rasmi.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Tun Dr Mahathir Mohamad
dipilih sebagai calon perdana menteri manakala Presiden PKR Datuk Seri
Dr Wan Azizah sebagai calon timbalan perdana menteri.
Namun, Malaysiakini dimaklumkan tiada kesepakatan sama ada Dr Mahathir perlu dinamakan sebagai "perdana menteri sementara" atau tidak.
Sumber mendakwa PKR lebih cenderung dengan frasa "perdana menteri
sementara", manakala tiga lagi parti komponen - BERSATU, AMANAH dan DAP -
menganggap ia berisiko memberi kesan yang tidak baik kepada HARAPAN.
Kenyataan Anwar ini juga dikeluarkan pada hari sama Majlis Presiden
HARAPAN bermesyuarat, yang mana antara agenda utamanya adalah
membincangkan soal frasa "perdana menteri sementara" itu.
Anwar yang juga ketua umum PKR mengingatkan HARAPAN agar tetap
mengutamakan "suara rakyat" dan tidak mengenepikan NGO dan aktivis
masyarakat.
"HARAPAN memang bertunjangkan empat parti tetapi kekuatannya adalah suara rakyat terbanyak.
"Maka sewajarnya dikekalkan tradisi berunding dengan NGO dan aktivis masyarakat," katanya lagi.
Kebelakangan ini, timbulnya seruan agar HARAPAN menampilkan pemimpin yang lebih muda dan baru sebagai calon perdana menteri.
Sejumlah NGO dan aktivis masyarakat juga hari ini mengeluarkan kenyataan bersama menggesa BN dan HARAPAN tidak mencalonkan Datuk Seri Najib Razak dan Mahathir sebagai calon perdana menteri masing-masing untuk PRU akan datang

Tiada ulasan:
Catat Ulasan