DETIK DAILY
Oleh KHALID ABD SAMAD
Kebelakangan ini kita membaca ide yang agak kontroversi dikemukakan
berhubung kedudukan para ADUN PAS di negeri Selangor. Ide kontroversi
ini mencadangkan supaya mereka melompat keluar PAS dan menyertai
Keadilan dan seterusnya bertanding kembali kerusi mereka sebagai
incumbent atau penyandang tetapi atas tiket Keadilan. Saya yakin ADUN
PAS ini sedang dalam sedikit dilema mengenai cadangan ini.
TIDAK SENANG DENGAN SIKAP PAS PASCA MUKTAMAR 2015
Kita semua mengetahui bahawa kesemua ADUN PAS di Selangor, yang
berjumlah seramai 13 orang tidak senang dengan pendirian PAS Pusat untuk
keluar Pakatan Rakyat (PR) dengan memeutuskan hubungan dengan DAP pada
2015 dan Keadilan kemudiannya. Ini jelas berdasarkan surat yang telah
ditandatangani kesemua 13 ADUN PAS meminta supaya PAS Selangor
dikecualikan dari dasar PAS Pusat memutuskan hubungan dengan PR.
Malangnya bagi mereka, rayuan mereka telah tidak diindahkan pimpinan PAS
Pusat, khususnya Hj. Hadi.
Pada ketika itu, saya yakin sudah ada terlintas di pemikiran sebahagian
dari mereka untuk keluar PAS dan bersama AMANAH apabila AMANAH
ditubuhkan. Namun mungkin atas sebab keyakinan pihak tertentu bahawa
hubungan PAS dan Pakatan Harapan (PH), yang ditubuhkan sebagai pengganti
kepada PR, boleh dipulihkan maka mereka kekal bersama PAS. Kemungkinan
mereka dimaklumkan bahawa perbincangan antara pihak Keadilan bersama
Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mustapha Ali, sedang berjalan dengan begitu
positif. Kemungkinan juga akan ada kerjasama antara PAS dan PH digunakan
untuk kekalkan mereka dalam PAS dan pada masa yang sama mengekalkan
juga ‘kerajaan PR’ di Selangor.
GAGALNYA USAHA KERJASAMA PAS-PH (KEADILAN)
Malangnya bagi ADUN-ADUN PAS ini, kerjasama PAS-PH yang digambarkan
sebagai satu kemungkinan besar akan berlaku telah tidak tercapai. Pada
masa sama, mereka juga sedar bahawa perubahan sikap PAS telah menjadikan
sebahagian dari mereka tidak lagi diperlukan oleh pimpinan PAS. Mereka
merupakan golongan pro-kerjasama dengan Pakatan, samada Pakatan Rakyat
atau Pakatan Harapan, sedangkan PAS sudah anti pakatan. Dalam keadaan
sebegitu, mereka terpaksa memilih untuk samada terus bersama PAS, yang
tidak lagi dipersetujui pendekatannya, atau keluar dan bersama PH,
khususnya bersama AMANAH.
Sekiranya mereka bersama PAS mereka sedar mereka tidak akan dipilih
untuk menjadi calon PRU 14. Sedangkan ada di kalangan mereka yang telah
menjadi ADUN calon sejak 2008 lagi dan masih bersemangat untuk terus
bertanding. Sambil itu, sekiranya mereka keluar dan menyertai AMANAH,
tiada jaminan mereka akan diterima dengan baik atas sebab begitu lambat
membuat keputusan untuk keluar PAS. Mereka akan dianggap sebagai
golongan yang antara terlewat dan ‘slow learner’. Harapan untuk
dijadikan calon juga mungkin dilihat ‘tipis’.
PILIHAN YANG MENAMBAHKAN DILEMA
Sambil mereka menimbangkan segala pilihan mereka, tiba-tiba mereka
ditawarkan pula untuk menyertai Keadilan dan dijanjikan akan dilantik
sebagai calon atas sebab mereka adalah incumbent atau penyandang.
Pilihan ini tidak pernah difikirkan mereka kerana dari awal lagi mereka
tidak berminat untuk menyertai Keadilan. Tawaran ini pula dibuat oleh
mereka yang pada peringkat awal dulu meyakinkan mereka supaya kekal
dalam PAS! Dan bahawa kerjasama PH - PAS, melalui Keadilan, dikatakan
pasti berlaku.
Saya rasa tiada yang boleh menafikan bahawa Keadilan bukanlah pilihan
pertama mereka kerana dari sejak awal mereka telah memilih untuk bersama
PAS. Hampir kesemua mereka menyertai politik pada atau selepas zaman
reformasi dan sekiranya Keadilan adalah pilihan pertama mereka maka
mereka semestinya akan bersama Keadilan pada ketika mereka menyertai
politik. Namun mereka kesemuanya telah bersama PAS kerana mereka,
kononnya, pada ketika itu mempunyai wawasan perjuangan politik Islam.
Dengan ditawarkan sebagi bakal calon, walaupun atas tiket Keadilan, saya
pasti sebahagian dari mereka masih berdilema. Ada yang tertarik namun
pada masa yang sama mereka risau bagaimana tindakan mereka untuk keluar
PAS dan menyertai Keadilan semata-mata kerana ingin menjadi calon akan
dilihat masyarakat keseluruhannya. Adakah mereka akan dilihat sebagai
oppurtunis dan tidak berprinsip?
KEMARAHAN PAS TERHADAP KEADILAN
Bagi Keadilan, penyertaan mereka sebagai ahli Keadilan akan memungkinkan
Keadilan menuntut kerusi-kerusi yang dulunya ditandingi PAS. Ini
memungkinkan Keadilan memperolehi maksima 13 kerusi tambahan sekira
kesemua ADUN PAS bersetuju dengan cadangan mereka. Semestinya ini satu
‘kejayaan’ bagi Keadilan. Namun demikian, justifikasi Keadilan untuk
menerima mereka sebagai calon agak kurang jelas.
Selama ini Keadilan bertindak secara berlembut dengan PAS atas alasan
ingin mendapat undi ahli PAS. Hujah Keadilan adalah seakan-akan sama
dengan hujah PAS sendiri untuk berlembut dengan UMNO. Tiba-tiba, bila
Keadilan ‘mencuri’ bekas calon PAS, tidakkah ianya akan menyebabkan PAS
marah? Sudah pasti PAS akan mengamuk dan pertandingan 3 penjuru bersama
PAS sudah pasti akan berlaku. Pada ketika itu ahli PAS juga akan marah
dengan ‘calon pengkhianat’ dan parti Keadilan yang mencalonkan
‘pengkhianat’ dan dengan itu tiada kelebihan yang akan diperolehi dengan
mencalonkan mereka. Tiada kelebihan melainkan kerusi yang ditandingi
Keadilan bertambah.
PERSPEKTIF PARTI RAKAN PH
Pada masa yang sama, saya juga khuatir bahawa akan ada yang merumuskan
yang mereka ini telah digalakkan untuk kekal sebagai ADUN dan Exco PAS
sebagai satu perancangan untuk menjadikan kerusi-kerusi mereka milik
Keadilan semasa PRU 14. Kalau itulah yang dirumuskan oleh ahli dan
penyokong AMANAH dan PPBM, maka hubungan antara parti komponen parti PH
di Negeri Selangor akan tercalar. Sedangkan semangat kekitaan dan
kebersatuan amat penting untuk PH berjaya mempertahankan Selangor.
Tindakan Keadilan akan dilihat sebagai tindakan ‘merampas kerusi-kerusi
rakan’ dengan meletakkan calon penyandang dari PAS yang menyertai
Keadilan pada saat terakhir semata-mata kerana dijanjikan akan menjadi
calon. Ini sewajarnya dielak. Seperti pepatah Melayu, ianya untung
secupak rugi segantang.
SERUAN KEPADA ADUN DAN AHLI PAS
Bagi ADUN-ADUN PAS yang sedang dilema, saya ingatkan supaya
mengikhlaskan hati dalam mendukung perjuangan Islam. Jangan jadi seperti
Baihara Bin Firas, ketua Bani Amir yang sanggup menyokong Rasulullah
(SAW) hanya sekiranya beliau dijanjikan bahawa beliau akan dilantik
sebagai ketua selepas wafatnya Nabi (SAW). Syarat Baihara telah ditolak
Rasulullah (SAW) kerana sikap meminta dan mementingkan jawatan adalah
bukan dari akhlak seorang pejuang Islam yang tulen.
Bagi ADUN-ADUN PAS ini, yang sudah lama sedar kesilapan Hj. Hadi, saya
ingin cadangkan supaya mereka istiqamah dengan perjuangan Islam dan
lakukan apa yang sepatutnya dilakukan mereka pada 2015. Keluar PAS untuk
bersamalah dengan AMANAH.
Sertai AMANAH walaupun tidak dijanjikan apa-apa jawatan mahupun
kedudukan. Saya yakin, bukan itu yang diperjuangkan mereka pada ketika
menyertai PAS pada asalnya. Sebaliknya yang diperjuangkan mereka,
seperti juga kami, adalah untuk membawa risalah politik Islam yang
kontemporari, tepat dengan keadaan semasa, demi menyelamatkan negara
dari kezaliman dan salahguna kuasa.
Pada masa yang sama, yakinlah bahawa sekiranya seseorang itu ikhlas dan
berkemampuan, dia tetap akan dinaikkan Allah sehingga menjadi pemimpin
walaupun dia menyertai sebagai ahli biasa pada awalnya. Itulah maksud
jawapan Rasulullah kepada Baihara Bin Firas.
Pimpinan dan ahli AMANAH tidak bersifat dendam dan tidak akan menafikan
kebolehan seseorang walaupun sekiranya mereka ini pernah terlewat pada
satu ketika dahulu.
WaLlahu 'Alam

Tiada ulasan:
Catat Ulasan