TENOM: Dua beranak rentung, manakala seorang lagi cedera selepas rumah
mereka di Taman Bosoi, dekat sini, musnah dalam kebakaran awal pagi
tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, kanak-kanak lelaki berusia
lapan tahun, Wong Ka Seng dan ibunya, Wong Siu Mei, 46, ditemui rentung
dalam bilik sama.
Suami Siu Mei, Wong Vun Tsung, 38, cedera parah apabila hampir 30
peratus badannya melecur dan dikejarkan ke Hospital Tenom untuk rawatan
kecemasan.
BH Online melaporkan, Mayat Ka Seng ditemui rentung atas katil di
sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat berkenaan, manakala
mayat ibunya dijumpai di tepi katil.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata
pihaknya menerima panggilan pada jam 2.35 pagi sebelum enam anggota
bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tenom dikejarkan ke
lokasi.
Sebaik tiba, katanya, bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan
sumber air jentera dan api berjaya dikawal pada jam 3.10 pagi sebelum
operasi tamat jam 5.15 pagi.
"Ketika bomba tiba di lokasi, rumah berstruktur kekal dan berjeriji penuh itu sudah terbakar 80 peratus.
"Selepas api dipadamkan, pemeriksaan bomba menemui dua mayat dalam keadaan rentung di sebuah bilik di tingkat atas.
"Seorang lagi mangsa melecur pada bahagian badannya dan dikejarkan ke
hospital," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan