Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ia dimaklumkan sendiri oleh para kakitangan kerajaan.
"Kami mendapati menteri-menteri dan perdana menteri memberi ceramah politik kepada pegawai kerajaan, bukan mengenai pentadbiran, tetapi mereka diugut agar mengundi Umno pada pilihan raya umum akan datang," kata Dr Mahathir semasa sesi soal jawab ketika bercakap mengenai dasar PH di Facebook hari ini.
Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid dilaporkan mengatakan tindakan tatatertib akan diambil terhadap guru jika didapati menyokong pembangkang dan menghalang mereka daripada menyertai mana-mana parti pembangkang atau mengkritik kerajaan.
Pejabat media dan komunikasi Kementerian Pendidikan dalam satu siri "tweet" berkata menteri berkenaan hanya memberi "nasihat sebagai seorang ayah kepada anak" apabila mengingatkan guru dan pegawai pendidikan agar berpada-pada menyokong pembangkang.
Dr Mahathir berkata adalah salah menyekat pegawai kerajaan daripada mendengar semua perbincangan politik kerana ia bertentangan dengan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.
"Ini salah, apabila pegawai kerajaan sepatutnya dikecualikan, dibenarkan mendengar semua perbincangan politik, barulah mereka mendapat semua maklumat untuk membuat pilihan terbaik.
"Tetapi ini, pegawai kerajaan terancam, inilah yang mereka katakan kepada kami yang mereka diancam agar menjauhkan diri daripada pembangkang," katanya.
Beliau juga mengatakan kini menjadi "sasaran" kerana semua serangan ini dan untuk memperbaiki keadaan ini, seorang pemimpin yang baik mesti dipilih pada pilihan raya umum akan datang.
"Jadi saya juga menjadi sasaran, kawan-kawan saya tidak dapat berjumpa saya sekarang, kerana sesiapa yang berjumpa saya akan menerima lawatan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan akan diberi kadar cukai yang tinggi untuk dibayar.
"Hari ini kita tidak mempunyai pemimpin yang baik dalam kerajaan, terdapat banyak cerita dan skandal, wang dicuri, wang RM42 bilion daripada 1MDB hilang, wang Felda hilang, Tabung Haji digunakan untuk membeli tanah yang terlalu mahal.
"Terdapat banyak wang yang hilang, di mana sahaja kita menyimpan wang, wang itu digunakan untuk dilaburkan dan hilang, sama ada KWSP atau KWAP, tetapi apabila kita bertanya, semuanya baik."
Tanah 66,000 meter persegi tanah Felda di Jalan Semarak pertama kali dilaporkan oleh Berita Harian dijual dalam urus niaga meragukan di mana Felda, tidak menerima sebarang wang daripada transaksi itu.
Felda, menurut laporan itu, berrisiko kehilangan pemilikan tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta.
Bagaimanapun, Pengerusi Felda, Shahrir Samad berkata agensi itu sudah memperoleh semula beberapa tanah di Jalan Semarak, yang dipindah milik kepada sebuah syarikat swasta di bawah keadaan mencurigakan.
"Mana buktinya? Wang tidak boleh dipindahkan kecuali terdapat aliran kertas apabila wang dipindahkan dari bank ke bank lain mesti ada aliran kertas pergerakannya," kata Dr Mahathir.
"Itulah sebabnya kita kini menderita, dan saya percaya selagi kerajaan ini ada di sini, kami akan mendesak agar kerajaan memperbaiki cara mereka atau kita akan menukar kerajaan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan