HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Mei 2018

Tak mustahil BERSATU jadi parti berbilang kaum'

Koh Jun Lin

    WAWANCARA | Tidak mustahil BERSATU akan menjadi parti berbilang kaum, kata Pengerusi DAP Johor, Liew hin Tong.

Menurutnya, politik berbilang budaya telah mengambil tempat di persada arus perdana berikutan PRU14 dan malahan parti berasaskan kaum dalam gabungan BN sedang mempertimbangkan untuk membuka keanggotaannya kepada warga negara daripada kaum-kaum lain.

Beliau berkata membentuk BERSATU sebagai parti berasaskan kaum merupakan "keperluan taktikal" ketika penubuhannya pada 16 September 2016 tetapi keadaan sekarang berbeza.

"Jika dua minggu kemudian, BERSATU fikir boleh menerima beberapa ahli bukan Melayu, itu tidak akan menjadi masalah besar. Tetapi pada masa itu (ketika penubuhannya), secara strategik ia tidak boleh dilakukan. Sekarang tidak ada tekanan.




"Begitu juga, apabila kami memutuskan untuk menggunakan bendera PKR (untuk bertanding dalam pilihan raya), kenapa? Kerana ia langkah yang paling pragmatik. Sekiranya kita guna bendera DAP, kita lingkup. Tak perlu lagi berjuang.

"Jadi, untuk mengubah kekalahan menjadi kemenangan, kami perlu mengatasi mereka (BN) secara strategik. Sekiranya kami menari dengan lagu lawan, kami akan kalah. Kita perlu mengatasi mereka dan melihatnya kembali sekarang, ia suatu keputusan yang tepat.

"Sekarang anda tidak mempunyai Utusan Malaysia, TV3 yang memberi tekanan (dengan menimbulkan sentimen perkauman). Sekarang senario politik keseluruhannya berbeza," katanya dalam wawancara Malaysiakini pada Selasa lalu.

Beliau ditanya jika BERSATU masih relevan sebagai parti berasaskan kaum dan jika DAP bertindak sebagai imbangan keadaan itu.

BERSATU menang di kerusi campuran

Keanggotaan penuh BERSATU pada masa ini hanya dibuka kepada bumiputera sahaja, tetapi bukan bumiputera masih dapat menyertainya sebagai anggota bersekutu. Anggota bersekutu tidak boleh bertanding dalam pemilihan parti, tetapi masih boleh dilantik ke jawatan parti.

Walaupun demikian, Liew menjelaskan BERSATU menang kerusi di kawasan campuran etnik seperti Tanjung Piai dan Simpang Renggam, disamping mengalahkan calon Cina dari MCA dan Gerakan untuk memenangi kerusi tersebut.

"Tidakkah mereka (BERSATU) terfikir pada masa akan datang bahawa: Saya dapat mewakili bukan Melayu, kerana kawasan pilihan saya dimenangi memiliki ramai orang bukan Melayu?

"Seluruh suasana kini berbeza, jadi anda boleh memikirkan segala macam kemungkinan. Sudah tentu perkara-perkara ini tidak akan berlaku dengan serta-merta, tetapi realiti di lapangan adalah (Ahli Parlimen Simpang Rengam) Maszlee Malik tidak hanya semata-mata mewakili orang Melayu.

"Kalau sokongan Melayu saja, beliau (Maszlee) tidak akan menang, beliau mendapat sokongan ramai orang Cina, ramai orang India dan separuh Melayu," kata pengerusi DAP Johor itu.




Liew berharap pada masa akan datang, rakyat Malaysia boleh memisahkan identiti budaya dan politik masing-masing, dengan itu mengenal pasti jati diri budaya mereka daripada kaum masing-masing, tetapi secara politiknya bertindak sebagai rakyat Malaysia.

Begitu juga, beliau berharap orang ramai dapat menerima Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai mewakili semua rakyat Malaysia dan bukan hanya melihat mereka sebagai wakil kaum masing-masing.

Untuk berfikir dalam kerangka politik perkauman tidak membawa ke mana-mana, katanya, kerana ia juga memaksa pihak lawan melakukan perkara yang sama dan meneruskan kitaran ganas berkenaan.

"Sekarang di televisyen, berbagai pihak bercakap mengenai era baru untuk Malaysia, suatu Malaysia baru. Semua orang bercakap mengenai Malaysia baru tetapi apakah yang baru di Malaysia? Apa yang diperlukan?

"Malaysia baru adalah saya boleh berbeza budaya, tetapi secara politik saya seorang warganegara," kata Liew, yang juga pengerusi Research for Social Advancement, lembaga amanah badan kajian berkaitan DAP.




Mengenai BN, Liew mendakwa model berasaskan kaum MCA dan MIC tidak relevan sejak tahun 2004, tetapi parti-parti itu diberikan talian hayat kerana bergantung pada sokongan Umno.

Keadaan ini tidak akan berubah jika MCA dan MIC meneruskan jalan yang sama, terutama sekali sekarang di kala Umno telah kehilangan kuasa persekutuan, katanya.

Beliau menambah jika BN terus dipimpin pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi Datuk Seri Hishammuddin Hussein, gabungan itu tidak dapat bersaing dengan Pakatan Harapan.

Ini kerana mereka tidak dapat menjarakkan diri daripada bekas pengerusi Umno Datuk Seri Najib Razak, yang terpalit skandal 1MDB dan menjadi sasaran ketidakpuasan hati undi 'protes' pada PRU14.

Beliau menjelaskan keupayaan mereformasikan BN dan menjarakkan diri daripada Najib merupakan prasyarat gabungan itu menjadi relevan kembali.

Tiada ulasan: