HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mei 2018

IGP: Siasatan berita palsu pada Dr M mungkin digugurkan

MALAYSIAKINI

   

Siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa menyebarkan berita palsu mungkin digugurkan kerana perdana menteri  telah memberikan keterangan sebelum ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ditanya sama ada siasatan itu akan diteruskan, beliau berkata: "Mungkin tidak kerana sepertimana sedia maklum Tun ada bagi statement tentang perkara ini.

"Jadi kita akur dengan statement yang dibuat sebelum ini," kata Fuzi kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Mahathir, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota polis di Bukit Aman.

Polis awal bulan ini mengesahkan sedang menyiasat Mahathir di bawah Akta Antiberita Tidak Benar.

Siasatan itu berikutan dakwaan Mahathir bahawa jet yang disewa beliau semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebelum berlepas ke Langkawi telah disabotaj.

Mahathir yang sepatutnya berlepas dari lapangan terbang Subang tidak dapat berbuat demikian selepas pesawat tersebut menghadapi masalah pada bahagian tayar.

Beliau kemudian menaiki pesawat lain selepas mendapatkan bantuan seorang rakan.

Ketika tiba di Langkawi, Mahathir mendakwa pesawat itu telah disabotaj sebagai sebahagian usaha untuk menggagalkan pencalonan beliau bagi bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU14.

Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru, Gobind Singh Deo telah mengumumkan bahawa Akta Antiberita Tidak benar akan dimansuhkan tidak lama lagi.


Tiada ulasan: