KEADILAN DAILY
Cadangan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Jun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
Menurutnya, kementerian beliau sedang menyiapkan dokumen yang perlu selain mendapatkan maklum balas Jabatan Peguam Negara dan pihak-pihak yang berkenaan sebelum mengemukakan cadangan itu di Dewan Rakyat.
Mengakui tempoh penyediaan dokumen itu singkat sebelum sesi Dewan Rakyat bermula 25 Jun ini, Gobind menjelaskan bahawa akta itu tidak memerlukan masa yang terlalu panjang untuk disediakan.
“Ini bukan nak pinda atau bentang undang-undang baharu, ini adalah rang undang-undang untuk kita tarik balik undang-undang sedia ada…oleh itu, ia adalah lebih jelas dan mudah berbanding membentangkan satu rang undang-undang baharu,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.
Bercakap mengenai kebebasan media seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan, beliau berkata beberapa undang-undang akan dikaji semula untuk menjadikannya lebih relevan.
“Kita ada undang-undang dan undang-undang itu sekarang membolehkan tindakan diambil sama ada sivil atau jenayah untuk laporan tidak benar dan sebagainya. Ada peruntukan dalam undang-undang sivil yang boleh membawa kepada tindakan saman, dan kita ada peruntukan dalam Kanun Keseksaan berkenaan fitnah dan lain-lain.
“Kita akan mengkaji undang-undang ini lagi untuk cuba dan menjadikannya lebih relevan bagi media masa kini. Itulah yang sedang dilakukan kementerian saya,” katanya.
Akta AntiBerita Tidak Benar yang merupakan pertama seumpamanya di dunia diluluskan secara tergesa-gesa oleh rejim BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Ia dilihat ramai pihak sebagai cubaan untuk menyekat kritikan kepada kerajaan BN pada masa itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan