HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2018

Kertas cadangan kaedah pelaksanaan SST siap dalam dua minggu - Daim

Bernama
Kertas cadangan kaedah pelaksanaan SST siap dalam dua minggu - Daim
DAIM: Selain SST, faktor nilai mata wang ringgit akan turut memainkan peranan ke atas barangan yang kebanyakannya diimport.
 
 
KUALA LUMPUR: Kertas cadangan mengenai kaedah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh dua minggu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata sistem SST yang akan diperkenalkan semula itu akan mempunyai sedikit pembaharuan untuk menjadikannya lebih cekap dengan matlamat utama untuk menurunkan harga barangan untuk rakyat.

Dalam siri kedua temu bual beliau dengan Buletin Utama TV3 hari ini, Daim turut memberi gambaran awal bahawa sistem SST yang akan dinaik taraf itu mampu meraih hasil yang mencukupi untuk menampung kehilangan hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan.

–– ADVERTISEMENT ––
"Jabatan Kastam buat laporan kepada saya, masih awal, mungkin pendapatan akan kurang daripada RM5.0 bilion, tetapi harga minyak naik.

"Dalam Bajet (harga minyak dijangka) US$52, sekarang naik US$70. Minggu lepas US$80, setiap US$1 yang naik, kita dapat RM300 juta. Itu hasil untuk menampung kekurangan," jelasnya.

Mengulas keraguan sama ada harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih murah selepas pelaksanaan semula SST, katanya faktor nilai mata wang ringgit akan turut memainkan peranan ke atas barangan yang kebanyakannya diimport.

Daim berkata perkara ini boleh diatasi dengan mempunyai kepercayaan yang tinggi kepada kerajaan.

Beliau berkata ekonomi merupakan subjek yang amat kompleks dan tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja.

Katanya dengan hasil kerajaan juga, tiada keperluan untuk memperkenalkan sebarang cukai baharu, mahupun meningkatkan kadar cukai pendapatan atau korporat buat masa ini. -- Bernama

Tiada ulasan: