WAWANCARA | Semakin kecewa dengan komunalisme di dalamnya, pengasas Umno Datuk Onn Jaafar meninggalkan parti itu pada 1951 selepas seruannya agar ia dibuka kepada semua kaum tidak dilayan.
Beliau kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang bersifat pelbagai kaum. Namun ia tidak mampu bertahan lama - IMP dibubarkan tidak lama selepas hanya menang satu kerusi dalam pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur pada 1952.
Tujuh dekad berlalu. Umno kekal sebagai parti Melayu, namun cadangan untuk membuka keahlian kepada kaum lain muncul semula selepas kekalahan pertamanya dalam sejarah pada 9 Mei lalu.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencadangkannya seminggu selepas PRU ke-14, berkata parti itu perlu menilai semula tujuan kewujudannya.
Idea itu barangkali tidak dapat dibayangkan sebelum 9 Mei, namun tidak selepas kekalahan bersejarah itu. Sokongan terhadap idea itu hadir dari tempat lahir Umno sendiri, iaitu Johor.
Bakal ketua pembangkang DUN negeri itu Datuk Hasni Mohammad (gambar) berkata, jika MIC dan MCA kekal dalam keadaan sekarang, Umno perlu menimbang cadangan itu dan menjenamakan semula dirinya sebagai parti pelbagai kaum.
"Saya fikir jika MCA dan MIC tidak dapat berfungsi, maka sebuah parti pelbagai kaum perlu mengambil tempat mereka.
"Jika MCA dan MIC terus berada dalam keadaan sekarang...Maka (persoalan) sama ada Umno perlu dijenamakan semula tidak dapati dielakkan. Kita perlu melakukannya.
"Kita tidak boleh hanya memimpin Melayu, tidak boleh jadi parti untuk Melayu saja," kata ADUN Benut itu dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Referendum dalam Umno
Hasni bagaimanapun mengingatkan keputusan seumpama itu perlu dibuat melalui perbincangan menyeluruh dalam parti.
"Saya rasa ia dasar yang perlu melalui proses referendum di kalangan anggota Umno. Ia bukan hal yang boleh dibincang dalam bilik mesyuarat sahaja.
"Cawangan Umno berada dalam setiap kampung."
Umno menang 54 kerusi Parlimen pada PRU lalu, namun parti komponen utama BN mengalami kekalahan teruk - MIC hanya menang dua kerusi manakala MCA satu kerusi.
Walaupun di kubu kuatnya iaitu Johor, Umno hanya mampu mengekalkan 17 daripada 32 kerusi DUN yang dipegang. MIC mendapat dua kerusi manakala MCA kalah semua kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan