HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Mei 2018

PEGAWAI KERAJAAN BUKAN KRONI MENTERI – ZAHID




Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberhentikan perkhidmatan pegawai kerajaan lantikan politik adalah tidak wajar.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan bahawa pegawai tersebut menjadi kroni kepada menteri terdahulu adalah tidak benar kerana mereka dilantik dengan persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Sebaliknya, beliau berkata pegawai kerajaan tersebut terdiri dalam kalangan mereka yang berpangkat rendah dan tidak berkaitan dengan menteri.

“Sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan ini bergaji sederhana dan rendah, ada antaranya menerima gaji mengikut Gred 17 dan SPA yang menentukan tangga gaji yang sesuai dengan kelayakan yang disandang.

“Kebanyakan mereka ini adalah pemudahcara kementerian dan jabatan tertentu serta tidak menerima faedah secara menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

“Sebahagian besar mereka juga melalui proses temuduga dan saringa kesihatan dan tidak dilantik secara terus seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Menurut beliau juga, kerajaan seharusnya menunjukkan sikap prihatin dengan berusaha untuk menyerap sebahagian besar daripada pegawai kerajaan ini ke dalam perkhidmatan awam.

Beliau turut berkata kerajaan tidak sepatutnya menimbulkan keresahan pegawai kerajaan ini memandangkan mereka akan ditamatkan di saat kedatangan bulan Syawal.

“Apa yang menimpa mereka sekarang ini mencerminkan ketidakprihatinan kerajaan. Apa lagi mereka ini ditamatkan serta-merta ketika sedang bersiap sedia menyambut kedatangan 1 Syawal.

“Biarpun mereka adalah kakitangna sandaran, mereka mempunyai keluarga dan mulut untuk disuap. Fikirkanlah soal kebajikan anak isteri mereka selepas ini.

“Jangan jadikan mereka sasaran dan mainan agenda politik kerana mereka adalah rakyat yang memerlukan pembelaan,” ujar beliau yang turut menggesa kerajaan untuk tidak memberikan gambaran tidak tepat mengenai kedudukan kewangan negara yang akan dijadikan alasan untuk mengurangkan lebih ramai penjawat awam.


Tiada ulasan: