HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mei 2018

Malam jahanam Barisan Nasional

THE MALAYSIAN INSIGHT


Malam jahanam Barisan Nasional
Sidang media Najib Razak yang pertama selepas kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 10 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 

"MACAM itu sekali orang tidak sukakan saya?"

Dua orang mendengar Najib Razak bertanyakan soalan itu ketika kekalahan Barisan Nasional (BN) tampak semakin jelas pada malam 9 Mei yang lalu.

Penasihatnya berhimpun dekat dengannya di kediaman bekas perdana menteri itu Langgak Duta, Kuala Lumpur. Muka mereka bertambah pucat dan muram apabila satu demi satu keputusan masuk.

Kerusi Parlimen jatuh satu demi satu di Sarawak, manakala kerusi negeri di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan terasa hilang daripada jangkauan bakal terlepas kepada Pakatan Harapan (PH).

Dua orang yang mendengar pertanyaan itu keluar daripada mulut Najib terdiam. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan rasa hati mereka yang bergelora, kecewa akan kekalahan yang mengejutkan yang ternampak daripada keputusan yang tidak putus-putus masuk.

"Tiada siapa tahu tahap kemarahan terhadap Najib dan BN. Menang orang kata mereka akan undi PH tetapi kami fikir masih selamat," kata seorang penasihat kepada The Malaysian Insight.

Keadaan tidak seperti ini ketika pengundian bermula pada pagi 9 Mei itu. BN tidak pernah kalah pilihan raya sejak ayah Najib, Razak Hussein menubuhkannya pada 1974. Parti sebelumnya, Perikatan juga menang berterusan sejak pilihan raya 1955, dua tahun sebelum Malaya merdeka.
Pentadbiran Najib yakin ia akan kekal sebagai kerajaan di Parlimen yang mempunyai 222 kerusi itu.

Ia malah meramalkan BN boleh mendapat semula majoriti dua pertiga yang akan membolehkannya meluluskan undang-undang yang memerlukannya tanpa kerjasama pembangkang.

BN ada wang, jentera dan media yang mendukungnya, sama seperti dalam pilihan raya-pilihan raya sebelumnya. Ia juga percaya lawan politiknya dalam keadaan kucar-kacir dengan Dr Mahathir Mohamad menerajui PH yang terpaksa menggunakan logo PKR apabila Bersatu digantung pendaftarannya.

"Macam mana boleh silap?" Tanya seorang pengatur strategi BN kepada The Malaysian Insight, yang tidak sedar bagaimana kekalahan itu datang pada Rabu itu.

"Kami tidak nampak tanda-tandanya langsung," katanya.

Bukan beliau saja yang tidak nampa kekalahan yang datang itu. Pasukan pakar strategi BN yang diupah dengan lumayan yakin parti itu akan menang besar dan membayangkan kepada pimpinan tertinggi untuk meyakinkan para penyokong yang mereka akan menang.

Khemah berbumbung putih yang dipasang di kediaman peribadi Najib di kawasan kejiranan mewah di Langgak Duta, yang terletak di jalan mati bertentangan dengan Istana Negara, sudah dipersiapkan untuk merayakan kemenangan BN. Iklan ucap tahniah sudah diatur untuk diterbitkan dalam akhbar yang dikawal oleh parti-parti dalam BN.

"Najib yakin menang sekurang-kurangnya 133 kerusi, sama seperti 2013," kata seorang pegawai strategi. Seorang yang lain berkata timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi meyakinkan para penyokong pada hari pengundian bahawa 142 kerusi dalam tangan kerana jumlah pengundi yang ramai pada Rabu itu.

Isteri Najib, Rosmah Mansor difahamkan menghubungi beberapa isteri pemimpin kanan dan mengulangi keyakinan Najib, BN akan menang 133 kerusi. "Beliau menelefon mereka pada 11.30 malam dan berkata BN boleh menang 133 kerusi," kata seorang lagi pegawai strategi.

Tetapi kemenangan yang diyakini itu tidak datang.

Najib tidak pergi ke ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) seperti lazimnya presiden parti yang menang. Beliau sebaliknya terperap di rumah, dan pemimpin-pemimpin kanan parti mula berdatangan untuk melihat keputusan yang masuk.

"Kita akan kalah besar. Johor tumbang, Melaka tumbang, Negeri Sembilan juga," kata seorang ahli Parlimen Umno yang kalah kepada PH.

Beliau awalnya menjangkakan akan menang tipis kerana jumlah pengundi keluar yang ramai tetapi kemudiannya kalah dengan lebih 10,000 majoriti memihak lawannya.

Menjelang pukul 9 malam, beberapa pemimpin kanan BN sudah kalah termasuk Presiden MCA, Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Dr S. Subramaniam; Pengerusi Felda, Shahrir Samad dan dua orang kanan Najib di Sabah, Salleh Said Keruak dan Abdul Rahman Dahlan.

Harapan kemungkinan masih boleh menang walaupun berdepan satu demi satu kekalahan hancur lebur apabila tidak lama selepas tengah malam, Dr Mahathir mengisytiharkan PH menang walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lambat mengumumkan keputusan, sehingga dikecam pelbagai pihak.

Dr Mahathir menang untuk kali keenam, kecuali kali ini beliau menang dengan menerajui PH dan bukannya BN. Najib terdiam sepanjang malam. Jurucakapnya berkata beliau akan membuat satu kenyataan pada sebelah pagi nanti.

Perdana menteri keenam itu masih tertanya-tanya sejauh mana benci dan marahnya rakyat terhadap beliau dan kawan-kawannya, manakala orang kanannya menunggu keputusan akhir untuk merencanakan langkah seterusnya.

Sementara itu, di luar orang merayakan kemenangan PH. Khemah putih di halaman kediaman Najib suram dan kosong. Penyokongnya sudah tidak lagi berhimpun di PWTC dan hanya segelintir yang datang ke kediamannya.

Petugas akhbar terpaksa menarik keluar iklan ucap tahniah untuk BN sementara editor cuba memikirkan tajuk berita yang boleh diterima yang menangkap maksud perubahan kerajaan yang bersejarah dan luar biasa pada 9 Mei lalu.


Tiada ulasan: