HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2018

KWSP: Cukupkah 2% untuk suri rumah?

 
Peguam VK Raj berkata jumlah itu tidak mencukupi bagi mewakili nilai kerja mereka.


Peguam VK Raj berkata undang-undang KWSP perlu dipinda bagi membolehkan suri rumah membuka akaun KWSP.

PETALING JAYA: Seorang peguam mengalu-alukan cadangan memperuntukkan sebahagian daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami kepada isteri mereka, tetapi berpendapat angka 2% terlalu kecil bagi mewakili nilai kerja yang dilakukan.

“Kerana isteri memasak, maka anda tidak memerlukan tukang masak; dia memandu, dan anda tidak perlukan pemandu; dia menjaga anak, dan anda tidak memerlukan orang gaji,” kata VK Raj, yang mengkhusus dalam bidang undang-undang buruh. “Jadi adakah 2% itu mencukupi?”

Bercakap kepada FMT, beliau mencadangkan majikan menambah jumlah sumbangan itu dengan memperuntukkan tambahan 2% lagi kepada gaji bulanan pekerja lelaki mereka yang berkahwin sekiranya isteri mereka suri rumah sepenuh masa.

Beliau berkata, majikan perlu mengakui pekerja akan bebas daripada rasa bimbang berkaitan tanggungjawab mereka di rumah dan boleh menjadi pekerja lebih baik.

Raj berkata akta KWSP perlu dipinda bagi membolehkan suri rumah membuka akaun KWSP.

“Isteri yang tidak pernah bekerja di luar rumah tidak mempunyai akaun (KWSP),” katanya.

Beliau berkata, takrif suri rumah juga perlu dijelaskan. “Bagaimana jika kedua-dua suami dan isteri bekerja, tetapi si isteri bekerja secara sambilan, di samping menjadi suri rumah?”

Beliau mencadangkan undang-undang menggunakan takrif “pengurus rumah tangga”, bukannya “suri rumah” untuk turut mengiktiraf lelaki yang melakukan kerja yang biasanya dikaitkan dengan suri rumah, sewaktu isteri mereka mempunyai pekerjaan di luar rumah.

Katanya, jaminan perlembagaan tentang kesamarataan di sisi undang-undang akan memastikan hak lelaki sedemikian tidak dinafikan di bawah cadangan caruman KWSP itu.

Raj berkata, undang-undang juga perlu menangani isu perkahwinan poligami.

“Apakah suami perlu memperuntukkan tambahan 2% lagi daripada caruman KWSP beliau sekiranya mempunyai 2 isteri dan kedua-dua mereka suri rumah? Atau apakah 2 isterinya harus berbahagi caruman 2% tersebut? Bagaimana pula suami yang mempunyai 3 atau 4 isteri?”

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon menggesa kerajaan berunding dengan pihak berkepentingan bagi mengelakkan kekeliruan dalam pelaksanaan idea itu.

Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, cadangan itu merupakan salah satu keutamaan beliau. Dalam pengumuman minggu lepas, beliau berkata kementeriannya akan turut mencadangkan supaya kerajaan turut menyumbang sebanyak RM50 sebulan ke dalam akaun setiap suri rumah.

Tiada ulasan: