ADA cadangan pihak
tertentu terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) pula dimansuhkan. Pelbagai pandangan dikemukakan
termasuk mereka yang mahu mengambil kesempatan menjarakkan Islam dari
negara pasca PRU ke-14. Kelompok pejuang kebebasan bersuara, LGBT,
liberal, free thinker dan lain-lain cepat melompat atas kesempatan PH
menerajui Malaysia dengan menyerang apa juga insititusi berkaitan agama
Islam di negara ini.
Alasan mereka yang mendesak pembubaran
Jakim kerana ia dilihat mencampuri urusan agama yang sepatutnya
diletakkan di bawah raja Melayu dan majlis agama negeri, membazir dana
negara dan menghabiskan duit kerajaan serta pelbagai pandangan lainnya.
Mereka mendesak secara agresif supaya Jakim dibubarkan selaras dengan
pengumuman pembubaran agensi lain kerajaan termasuk SPAD, JKKP, Jasa dan
Majlis Professor Negara (MPN). Entah mengapa begitu cemburu dan marah
segelintir pihak ini terhadap Jakim tidak pula diketahui walaupun bidang
kuasa Jakim tidak mengganggu urusan kehidupan mereka seharian.
Jakim adalah institusi agama Islam dan
dianggap oleh umat Islam sebagai agensi penting kerajaan. Ia ditubuhkan
secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Jakim begitu signifikan terhadap umat Islam dan negara ini sebagai
badan penasihat kepada pihak kerajaan dalam isu-isu agama, penggubal
undang-undang Syariah untuk dijadikan model di peringkat negeri dan
digunakan sepenuhnya oleh negeri. Selain itu, Jakim juga berperanan
sebagai badan penyelaras di antara agensi-agensi agama dan yang paling
utama adalah sebuah badan yang melaksanakan pensijilan halal di
Malaysia.
Di sinilah menguji kekentalan prinsip
Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan
insitusi agama itu. Jakim ditubuhkan di bawah kepimpinan beliau sebagai
Perdana Menteri dan dengan kedudukan sekarang ia menguji beliau sama ada
masih bertegas mempertahankan kewujudan Jakim atau tunduk kepada
tekanan segelintir pendesak. Rakyat sedang melihat ketegasan kerajaan PH
mempertahankan institusi agama Islam sesuai dengan kedudukan agama
Islam dalam perlembagaan Malaysia.
Dalam hal ini, tidak wajar bagi Tun Dr
Mahathir mempertimbangkan desakan suara liar yang benci terhadap agama
Islam dalam apa juga bentuk. Membubarkan Jakim akan merugikan umat Islam
untuk jangka pendek dan jangka panjang. Sukar bagi agama Islam
dipertahankan di negara ini jika satu dem satu desakan dan tekanan
disuarakan bagi mengurangkan kuasa umat Islam. Jika kerajaan tunduk
dengan desakan mereka, bererti kemenangan moral pertama terhadap agama
Islam dan selepas ini banyak lagi desakan dan tekanan diberikan untuk
mengurangkan kuasa agama Islam.
Di sebalik desakan mereka yang agresif
menyerang agama Islam, kerajaan pula perlu mendengar desakan umat Islam
agar peranan Jakim diperkasakan di negara ini. Selain dikekalkan, bidang
kuasa Jakim mesti diperluaskan dan diselaraskan, kakitangannya mesti
ditambah, dan skop tugasannya mesti kembangkan bagi memperkasakan
peranannya. Jadikan Jakim sebagai agensi utama penghubung antara
insititusi agama di negara ini dengan negeri-negeri agar syiar dan
syariat Islam terus terpelihara. – HARAKAHDAILY
*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan