HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Mei 2018

Jamal hilangkan diri, hantar video dari ladang kelapa sawit

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: ‘Kehilangan’ Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos sejak lima hari lalu terus menjadi tanda tanya selepas sekali lagi tidak muncul bagi menyelesaikan proses ikat jamin beliau.

Selepas menghilangkan diri, Jamal mengirimkan klip video berdurasi 7 minit untuk memberi penjelasan.

“Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya tetapi apabila yang berlaku terhadap saya ini dengan nama saya disenaraihitamkan dan (saya) diletak dalam langkah keselamatan khas oleh PDRM (saya jadi bimbang).

“Dan selepas SPRM menyerbu kediaman saya, pejabat, dan beberapa tempat lain, saya bimbang daripada semalam hinggalah malam tadi rumah saya diserbu oleh polis, (selain) kediaman ibu saya, rakan-rakan saya.

“Ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini ke IPD Ampang walaupun saya telah berjanji semalam (untuk hadir),” katanya dalam video itu yang dipercayai dirakam di kawasan kelapa sawit.

Jamal turut  memohon kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jaminan kepadanya bahawa dirinya tidak akan dizalimi dan tidak dianiaya.

“Saya melihat apa yang berlaku kepada saya hari ini seperti mana Tun Dr Mahathir menzalimi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan rakan-rakannya ketika dahulu.

“Saya bukannya penjenayah tetapi saya diperlakukan seperti penjenayah dan pengganas sekarang ini,” katanya.

Semalam, Jamal menerusi satu rakaman suara yang diedarkan kepada media mendakwa beliau akan hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi menyempurnakan proses berkenaan.

Bagaimanapun, usaha pengamal media yang menunggu di luar IPD Ampang Jaya lebih dua jam menemui jalan buntu.

Sementara itu, peguam Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata sehingga kini pihaknya masih gagal mengesan kedudukan beliau.

“Saya mendapat satu rakaman suara yang saya yakin semua pihak media mendapat maklumat yang sama. Sehingga 3.30 petang ini, usaha kami (peguam) cuba menghubungi beliau masih gagal.

“Kali terakhir saya dapat berhubung dengan beliau ialah pada tiga hari lepas dan kami (peguam) akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Mohd Imran berkata bagaimanapun, pihaknya menyerahkan segala keputusan kepada pihak polis sama ada akan menahan beliau atau sebaliknya sekiranya Jamal tidak menyelesaikan urusan berkenaan secepat mungkin.

Pada Jumaat lepas, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini.

Kehilangan Jamal dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Tiada ulasan: