HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Mei 2018

Guan Eng terlebih lajak, gopoh tentang hutang, kata Kadir Jasin

Bekas pengarang itu berkata menteri kewangan terlalu ghairah untuk membuktikan Najib salah berhubung angka hutang dan liabiliti kerajaan.


Lim terlalu teruja tentang hutang negara, kata Kadir Jasin.


PETALING JAYA: Bekas pengarang terkenal, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sudah melalui ujian getir selepas pendedahan terbaru beliau berhubung jumlah penuh hutang dan liabiliti kerajaan.

Ramai berpendapat Lim terlebih lajak dan terlampau gopoh berhubung pendedahan angka itu, pendapat yang disetujui oleh Kadir.

Komen beliau dibuat sehari selepas Lim berdepan kritikan antarabangsa dan domestik dan respons sinis daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mengucapkan “tahniah” kepada beliau kerana menakutkan pasaran kewangan dan saham.

Dalam kenyataan Twitter malam tadi, Najib secara sinis menyebut tentang pemulihan luar biasa ekonomi negara daripada hampir musnah semasa kempen pilihan raya kepada berkeadaan baik beberapa hari selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Semalam, Kadir di blognya berkata, Lim “terlalu memainkan isu hutang negara”, walaupun jika kerajaan baru Pakatan Harapan mendapati “kerajaan lepas berbohong tentang kewangan kita.”

Katanya, Najib, yang juga merupakan menteri kewangan, sebelum ini hanya mendedahkan hutang rasmi kerajaan tetapi tidak bercakap tentang hutang dan liabiliti agensi kerajaan yang dijamin oleh kerajaan pusat.

Apabila kedua-dua angka itu dicampur, jumlahnya lebih besar dan disitulah silap Lim, kata Kadir.

“Beliau terlalu teruja ketika menjumpai angka yang membuktikan PH memang betul selama ini, tetapi beliau terlupa akan implikasi pendedahannya itu.”

Kadir mengingatkan menteri dan pegawai mereka supaya lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan kepada media.

“Kelebihan politik tidak sama dengan kelebihan ekonomi. Apa yang baik untuk politik tidak semestinya baik untuk ekonomi dan pasaran,” katanya.

Pemimpin PH perlu berfikir dengan cermat apabila menjalankan agenda reformasi mereka.

“Kita tidak perlu mensensasikan atau menjerit lagi kerana kita kerajaan sekarang. Memang kita perlu hukum pesalah kerajaan lepas tetapi mestilah mengikut undang-undang,” katanya.

Malam semalam, Najib menempelak Lim dan PH, lanjutan komennya pada Khamis yang menyindir Lim kerana menakutkan pasaran.

Najib membandingkan retorik kempen pilihan raya pemimpin PH tentang ekonomi negara menuju kemusnahan dengan kenyataan terbaru mereka bahawa ekonomi berada dalam keadaan kuat dan kukuh.

Secara sinis beliau mengucapkan tahniah kepada PH kerana memulihkan ekonomi hanya beberapa hari selepas berkuasa.

Tiada ulasan: