HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Mei 2018

Najib tarik balik saman berkait 1MDB menghairankan, kata peguam

 
Peguam S N Nair percaya bekas perdana menteri itu akan menyetujui penyelesaian bagi semua saman lain kerana kedudukan lawan beliau kini lebih kuat.


Melihat kepada penarikan balik 2 saman itu, Nair menjangka kes lain juga tidak akan diteruskan. (Gambar Youtube)


PETALING JAYA: Penarikan balik 2 saman fitnah berkaitan 1MDB oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak antara lain memberi gambaran beliau tidak mempunyai kes yang kuat terhadap lawannya, kata peguam S N Nair.

“Tampak seolah-olah beliau hanya menggunakan saman tersebut untuk menakutkan lawannya semasa beliau berkuasa,” katanya.

Nair berkata, sekiranya Najib benar-benar serius berkenaan tindakan undang-undang, beliau patut meneruskannya kerana beliau menyaman pihak yang mencemar nama baiknya di mata umum.

Beliau membuat anggapan itu terhadap keputusan Najib menarik balik saman terhadap Ahli Parlimen Damansara Tony Pua pada 2015 berhubung kenyataan memfitnah ketua publisiti kebangsaan DAP itu mengenai 1MDB.

Peguam Datuk Hafarizam Harun, yang mewakili Najib berkata semalam, beliau diarahkan menarik balik saman itu dengan terma yang tidak didedahkan kepada media.

Najib menyaman Pua dan pemilik MediaRakyat Chan Chee Keong berhubung kenyataan dibuat oleh Pua dalam satu jamuan makan malam mengutip derma pada 2014.

Beliau mendakwa Pua membuat kenyataan fitnah mengenai 1MDB dengan berkata “Najib mencipta skandal terbesar dalam sejarah Malaysia.”

Najib juga mendakwa ucapan Pua membawa makna beliau mencuri duit rakyat dalam urus niaga 1MDB dan beliau tidak boleh dipercayai untuk memegang jawatan awam.

Beliau berkata kenyataan itu kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau ejennya ke laman Youtube dan laman web MediaRakyat.

Minggu lepas Najib menarik balik saman fitnah terhadap bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dan berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada “perkara lebih mendesak”

Najib memfailkan saman terhadap Ling selepas bekas menteri pengangkutan itu dilaporkan berkata, “Najib mengambil duit rakyat” berhubung isu derma RM2.6 bilion.

Mahkamah memerintahkan Najib membayar Ling kos sebanyak RM25,000 kerana menarik balik samannya.

Najib mempunyai sekurang-kurangnya 3 lagi kes saman fitnah terhadap pihak lain, sementara menghadapi 5 saman terhadap dirinya, berkaitan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

Semua kes kini sama ada berada di peringkat perbicaraan atau menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

Nair berkata, melihat kepada penarikan balik 2 saman itu, beliau menjangka kes lain juga tidak akan diteruskan.

“Saya fikir, ia akan diselesaikan di luar mahkamah kerana lawan Najib kini berada pada kedudukan lebih kuat untuk membuktikan kes mereka atau membela diri dengan jayanya,” kata beliau.

Selain itu kata Nair, keterangan berkaitan 1MDB dan derma RM2.6 bilion itu kini diketahui umum selepas pilihan raya umum lepas dan kejayaan Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan.

“Saksi, termasuk menteri dan pegawai awam, akan bersedia memberi keterangan terhadap Najib,” tambah beliau.

Tiada ulasan: