HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Mei 2018

Seminggu pegang jawatan Menteri, Mat Sabu semakin serasi

Muhammad Azizul Osman
Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Mohamad Sabu memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama 1RAMD ketika hadir memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Pertahanan yang baharu di Dataran Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2018
Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Mohamad Sabu memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama 1RAMD ketika hadir memulakan tugas pada hari pertama sebagai Menteri Pertahanan yang baharu di Dataran Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu yang kini memegang portfolio Menteri Pertahanan berkata beliau semakin serasi dengan tugasnya selaku menteri kanan dalam Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sudah seminggu menjawat jawatan itu, Mohamad Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu mendapati beliau semakin hari semakin memahami protokol dan tugas selaku menteri Kabinet.

“Apa yang ada dalam Kementerian Pertahanan dulu kita tahu dari sudut askar atau pertahanan secara umum, jadi bila kita tahu tanggungjawab keselamatan negara, perairan, hubungan dengan negara jiran dan kuasa besar, semua kita kena deal supaya meletakkan Malaysia negara aman, neutral dan bersiap siaga.

“Jadi hidup saya semua wartawan tahu perjuangan politik parti dan jalanan, tetapi kini memegang tanggungjawab besar untuk Malaysia dan cuba pikul sebaik mungkin,” katanya memetik laporan Harian Mtero hari ini.

Ujar bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu lagi, agak sukar untuk merubah pendirian mengkritik yang selama ini sebati dalam dirinya yang berada dalam landasan pembangkang.

Namun katanya, tanggungjawab yang diberikan kepadanya akan digalas dengan teliti dalam memastikan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu, tidak disalahgunakan.

“Dulu kita memberi pelbagai pandangan kritikan kepada kerajaan sebelum ini dan sekarang giliran kita melakukan (memerintah negara). Memang dulu kita kritik macam kita lihat filem. Kita tahu filem ini baik atau tidak baik di mana pelakon salah tapi kalau kita sendiri disuruh berlakon, berat.

“Sekarang kita diberi tanggungjawab dan kita akan laksanakan dan segala kritikan kita buat dulu semoga tidak berulang untuk orang lain pula untuk mengkritik kita atas isu yang kita kemukakan dulu. Kita akan cuba usaha yang terbaik,” katanya lagi.

Nama Mat Sabu semakin menjadi bualan ramai apabila namanya diangkat menjadi Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membentuk kerajaan baharu Pakatan Harapan pada 10 Mei lalu.

Tegas beliau, biarpun sudah bergelar menteri Kabinet, namun beliau tidak akan meninggalkan gaya hidup sederhana yang menjadi darah daging beliau sejak menceburi bidang politik pada 1981.

“Segala bentuk protokol yang ada dalam kementerian saya akan ikut, saya akan kekal sebagai Mat Sabu bergaul dengan semua lapisan masyarakat. Memang bila sudah jadi hak orang ramai, maka saya terpaksa berkelakuan sebagai hak orang ramai, itu paling penting,” katanya lagi. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: